Ahli Umno yang berfikiran waras mesti bersuara di mesyuarat bahagian parti akan datang, kata pemimpin parti yang disegani Datuk Saifuddin Abdullah ketika beliau merayu kepada mereka untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan perjuangan asal parti.
Saifuddin membuat seruan itu pada satu forum malam tadi yang membincangkan suasana bahaya ketika ini di mana parti makin lari daripada kedaulatan undang-undang kerana beberapa pemimpin tertinggi Umno cuba untuk melindungi presiden Datuk Seri Najib Razak daripada kemugkinan terlibat dalam rasuah.
“Saya tahu ada ramai ahli parti terdiri daripada orang yang baik dan percaya kepada kebenaran dan keadilan serta menegakkan perlembagaan parti.
“Anda mesti bersuara dalam mesyuarat bahagian yang akan datang. Anda mesti berjuang untuk Malaysia yang lebih baik,” kata Saifuddin dalam satu forum bertajuk ‘Malaysia: Ke mana kita pergi dari sini’ yang diadakan di Kuala Lumpur.
Umno akan mengadakan mesyuarat tahunan bagi 199 bahagiannya bulan ini dan September. Bahagian merupakan suara kolektif akar umbi Umno dan barometer penting kepada berapa banyak sokongan yang dimiliki pemimpin tertinggi.
Kekecewaan terhadap Najib, yang juga perdana menteri makin memuncak selepas beliau memecat timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lantang mengkritik cara pentadbiran mengendalikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kemarahan ahli Umno sebelum ini sememangnya sudah dicetuskan bekas perdana menteri berpengaruh, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Najib meletak jawatan kerana didakwanya salah tadbir syarikat milik kerajaan 1MDB, menanggung hutang mencecah RM42 bilion.
Dalam ucapannya pada forum itu, Saifuddin menggesa ahli Umno menjadikan parti itu kompetitif supaya ia boleh menang dalam pilihan raya yang bersih dan adil.
“Kalau kita menang, kita menang dengan bergaya. Kalau kita kalah, kita ada peluang muncul semula,” kata Saifuddin yang juga bekas timbalan menteri pengajian tinggi.
Beliau berkata penjawat awam di negara ini seharusnya tidak memihak kepada sesiapa bagi mengukuhkan institusi Malaysia, terutamanya dalam masa yang sukar.
Kenyataan Saifuddin itu dibuat ketika tekanan bertubi-tubi dihadapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila pegawainya ditangkap dan disoal siasat polis.
Isu yang perlu menyelubungi SPRM ialah berhubung dakwaan wujud kebocoran maklumat dalam siasatan ke atas kes pemindahan dana RM2.6 bilion kepada akaun bank peribadi Najib.
SPRM pada Isnin mengatakan wang itu sumbangan derma, tetapi ia mencetuskan lebih banyak tanda tanya apabila pengkritik mendesak Putrajaya mendedahkan asal usul wang itu dan sama ada pemberiannya bersyarat atau tidak.
“Kami bukan minta anda (penjawat awam) bersuara lantang atau berdemonstrasi di jalan. Kami hanya minta anda lakukan kerja anda secara profesional dan orang ramai akan menyokong anda,” kata Saifuddin.