Pejabat dan kediaman 3 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digeledah polis hari ini sebagai sebahagian daripada siasatan dalam kes berkaitan kebocoran maklumat siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali berkata, 3 pegawai itu termasuklah Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) Dato Tan Kang Sai yang dipanggil hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya petang tadi.
Tan berada di IPD Putrajaya kira-kira tiga jam dari pukul 3 petang.
Dalam pada itu, dua lagi pegawai yang terlibat dalam siasatan berkaitan SRC International juga diminta hadir di IPD Putrajaya petang tadi.
“Kedua-dua mereka kemudian ditangkap. Bilik pejabat mereka di BOK di Presint 3 Putrajaya dan rumah mereka digeledah oleh polis.
“Dokumen dan komputer riba juga diambil oleh polis… kita sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan itu.
Tanpa memberikan nama mereka, beliau berkata, salah seorang daripada pegawai itu merupakan pegawai penyiasat kes SRC International.
“Dalam hal ini, saya ingin menegaskan SPRM akan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan telus dan profesional,” katanya.
Mustafar mengakui tangkapan berkenaan akan mengganggu siasatan terhadap kes yang disiasat oleh SPRM.
Ini kerana ia sedikit sebanyak mengganggu kelancaran proses siasatan memandangkan peralatan seperti komputer riba pegawai bertugas diambil pihak polis.
Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 10.30 malam tadi.
The Malaysian Insider sebelum ini difahamkan, anggota polis berkenaan mula menggeledah bilik pejabat mereka kira-kira jam 7 petang tadi.