Teknologi moden merupakan anugerah Allah yang perlu dimanfaatkan oleh orang – orang yang beriman untuk menyambung risalah dan lidah perjuangan Rasulullah saw serta generasi terdahulu. Teknologi seperti blog, website, facebook, my space, twitter dan lainnya wajar digerakkan untuk membina minda ummah, mendidik aqidah, fikrah dan akhlak mereka
Demikian ditegaskan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dalam satu kenyataan media. Menurut Nasrudin blog-blog yang berkeupayaan memberi ilmu atau maklumat yang benar dan tepat berasaskan nas dan fakta adalah blog yang berwibawa dan mulia. Blog itu wajar dibaca dan dilinkkan ke laman – laman lain untuk diakses oleh orang ramai . Baginya blog yang menyampaikan kebenaran adalah penyambung risalah agung al quran dan hadis yang memimpin manusia ke jalan kebenaran.
“Asas risalah untuk mendidik umat manusia agar benar tindakan dan amalan mereka iaitu al Quranul Karim. Al Quran ialah risalah yang memuatkan wahyu Allah swt sebagai pedoman dan petunjuk buat manusia menjalani kehidupan mereka . Al Quran adalah “blog\website” Allah swt yang wajib dibaca oleh seluruh umat manusia, kemudian amal dan hayati seluruh isi kandungannya .
“Manakala Rasulullah saw diutus untuk menafsirkan kandungan “blog\website” Allah swt agar manusia mudah memahami apa yang telah diwahyukan. Malah Nabi saw menyampaikan risalah as samawi itu dengan sabdanya melalui “blog\website” baginda saw yang dinamakan As Sunnah atau Al Hadis
“Para sahabat pula menulis di pelepah – pelepah tamar, kulit – kulit kambing sebagai “blog\website” mereka untuk disebarkan kepada seluruh ummat manusia, menyambung risalah an nabawiyah. Para ulama’ Islam meneruskan kerja – kerja murni itu melalui kitab – kitab yang dikarang oleh mereka sebagai “blog” yang memuatkan ilmu rujukan dan panduan ummah,” katanya.
Menurut Nasrudin lagi, zaman selepas para sahabat dan as solihin, risalah berubah bentuk kepada bahan bercetak namun tujuannya tetap sama untuk menyampaikan kebenaran. Ketika menetang penjajah di Turki, Syeikh Said Badiuzzaman an Nursi menggerakkan Risaalatun Nur sebagai “blog\website” rasmi Gerakan Islam Turki bagi menyemarakkan kesedaran ummah.
“Risalah Al Manar di Mesir dan Risalah Al Imam di Nusantara bolehlah dianggap antara dua “blog\website” yang masyhur membangkitkan kebangkitan umah menentang penjajah dan memperjuangkan Islam sehingga tertubuhnya Gerakan Islam yang sistematik memperjuangkan Agama Allah swt terutama setelah kejatuhan khilafah Islamiah Turki pada tahun 1924 .
“Justeru itu, blog\website yang hanya memuatkan berita sensasi tanpa peduli ‘betul benar” sumber berita atau maklumat yang dipostkan adalah blog\website yang perlu diperbaiki dan perbetulkan agar ia benar – benar berfungsi menepati prinsip ar Risalah as samawi .
“Saya menyeru semua bloggers, facebookers dan websiters agar kita mencontohi kredebiliti Risalah terdahulu yang sangat mengutamakan ketulenan dan keabsahan ilmu berlandaskan sumber yang benar dan tepat seperti Al Quran dan As Sunnah. Prinsip risalah kita tetap sama seperti risalah di zaman silam. Hanya yang membezakan kita ialah teknologi. Selayaknya lebih maju dan lebih moden teknologi kita, maka lebih benar dan lebih tepat maklumat kita,” hujah Nasrudin.