KENYATAAN MEDIA: PAS Kawasan Kuala Kangsar merasakan kenyataan penafian oleh Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Negeri Perak tentang kedudukan jawatan Menteri Besar Perak khasnya masih ‘kabur’ dan masih belum kukuh selagi Dato’ Sri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden UMNO belum membuat kenyataan rasminya.
Kedudukan Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden UMNO pun boleh digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, inikan kedudukan Datuk Seri Zambry sebagai Menteri Besar dan dalam masa yang sama juga kedudukan Dato’ Seri Zahid dilihat masih tidak ‘selamat’ kerana seseorang Perdana Menteri mempunyai kuasa prerogatifnya.
Isu pertukaran Menteri Besar Perak ini dapat dilihat kerana isu dalaman UMNO di Negeri Perak jelas menampakkan ‘ketegangan’ bermula dengan usaha menyekat beberapa kepimpinan kontroversi yang dijadualkan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan di peringkat UMNO Bahagian dan sayapnya dibatalkan. Antaranya Dato’ Seri Mukhriz Mahathir yang sepatutnya dijadualkan di Tanjung Malim telah dibatalkan dan digantikan dengan Datuk Seri Zambry sendiri. Dan difahamkan salah seorang Naib Presiden UMNO yang digugurkan sebagai Menteri, Datuk Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal yang dijadualkan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan di salah satu UMNO Bahagian di Bandaraya Ipoh juga turut dibatalkan.
Perkara ini jelas usaha menyekat pengaruh Tan Sri Muhyiddin dan orang yang rapat dengannya seperti Datuk Seri Shafie dan Dato’ Seri Mukhriz walaupun beliau masih sebagai Timbalan Presiden UMNO. Jadi tidak mustahil perubahan politik yang ada akan turut melibatkan kerusi Menteri Besar Perak ketika ini. Kami menasihatkan Datuk Seri Zambry jangan bimbang dan takut jika beliau tidak ‘menyokong’ Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Shafie dan Tun Dato’ Sri Dr Mahathir Mohamad serta anaknya iaitu Dato’ Seri Mukhriz untuk berbeza pandangan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan menyekat mereka semua. Bagi kami, Datuk Seri Zambry perlu mencontohi sikap yang ditunjukkan Datuk Seri Mulia Mohamed Khaled, Menteri Besar Negeri Johor yang berani menyuarakan isu yang kini diperkatakan. Malah sehingga ke hari ini, mengapa Datuk Seri Zambry umpama ‘menikus’ di dalam isu 1MDB dengan ‘derma’ RM 2.6 Bilion?
DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Yang DiPertua,
PAS Kawasan Kuala Kangsar.