Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata sesetengah pemimpin gagal menyedari keadaan sebenar disebabkan mereka dikelilingi penyokong yang tidak bercakap benar.
Dalam ucapannya di Mesyuarat Agung Tahunan Umno Pagoh, timbalan presiden parti itu berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila pemimpin terbabit berasa bangga diri disebabkan maklumat salah berkenaan.
Tanpa menyebut nama secara khusus Muhyiddin berkata pemimpin terbabit tidak diberitahu oleh orang bawahannya jika melakukan kesalahan.
“(Orang itu akan berkata) Mengapa orang suruh saya berhenti? Saya OK, sokongan ramai. Apabila saya pergi ke (mana-mana) majlis, beribu-ribu orang datang,” katanya.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, beliau tidak mengaitkan kenyataan itu kepada sesiapa, sebaliknya “mengandaikan” seserang pemimpin berasa begitu.
Di sebalik penafian itu, kenyataan Muhyiddin itu agak jelas merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak yang mengetepikan beliau daripada kabinet pada 28 Julai lalu.
Mendakwa tidak boleh bekerjasama dengan Muhyiddin, Najib juga pernah menyatakan rasa bangga apabila rakyat hadir beramai-ramai ke majlis dihadirinya.
Menurut Muhyiddin, seseorang pemimpin mungkin tidak menyedari melakukan kesalahan kerana ia tidak ditegur orang bawahan.
“Itu yang saya kata kepada perdana menteri. Salahkah saya?” katanya.