Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana anggota gerakan itu yang berkawan atau menyokong seteru politiknya Umno, kata pengerusi jawatankuasa penajanya, Mohamad Sabu.
Ia juga dilihat sebagai satu peringatan tersirat kepada pemimpin PAS, termasuk Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang kini dilihat selesa dengan Umno.
“Sesiapa yang berkawan dengan Umno, anda kena keluar,” kata Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, disambut tepukan gemuruh di majlis makan malam Aidilfitri bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Seberang Jaya, malam tadi.
Mat Sabu berkata GHB, yang terdiri daripada bekas progresif dari PAS, dituduh mahu hidup senang apabila mereka mengambil keputusan untuk menubuhkan kumpulan serpihan PAS itu.
Keputusan untuk membentuk kumpulan baru itu dibuat selepas DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat telah terkubur, selepas PAS di muktamarnya yang ke-61, meluluskan usul memutuskan hubungannya dengan DAP kerana memutuskan hubungan dengan Hadi.
Bagaimanapun, Mat Sabu menolak sebarang tanggapan bahawa pemimpin GHB mahu mencari cara mudah selepas kekalahan mereka dalam pemilihan PAS Jun lalu, yang didominasi oleh sayap ulama.
Mat Sabu berkata isterinya mengadu bahawa sepanjang 35 tahun perkahwinan mereka, beliau hanya tinggal di rumah selama setahun.
Katanya, ia kerana beliau kerap ditahan, termasuk penahanan di Kamunting di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Katanya, beliau ingin bebas seperti orang lain, berpegangan tangan dengan isterinya di pantai, sepertimana warga emas di Barat.
Bagaimanapun, selepas melihat keadaan yang tidak menentu di negara ini, isterinya berkata ‘walaupun anda tidak pulang ke rumah, teruskan perjuangan anda’, ” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.