Masalah calon bukan sahaja melanda BN dan menjadi topik hangat di kebanyakan kerusi DUN dan Parlimen yang ditandingi parti itu menjelang hari penamaan calon. Penyakit berebut kerusi kini telah menjangkiti Pakatan Rakyat di beberapa negeri.
Pada pilihan raya umum (PRU) 1999, 2004 dan 2008 tidak berlaku perebutan kerusi bagi gabungan pembangkang. Malah banyak pemimpin yang ditawar menjadi calon menolak ‘tuah’ untuk dipuja oleh ahli-ahli parti sebagai bintang pujaan selama sebulan berkempen .
Mereka menolak untuk disambut meriah di tapak ceramah dan dicetak wajah di atas poster, risalah atau banner. Apakah punca mereka menolak tuah?
Jawapannya mudah. Calon pembangkang tidak seperti calon BN yang berkuasa menggunakan apa sahaja sumber kewangan dan jentera kerajaan persekutuan atau negeri. Calon pembangkang sebaliknya, parti hanya mampu menyediakan wang deposit pencalonan dan sedikit belanja membeli bendera serta poster.
Bankrap selepas PRU
Untuk berkempen selama 11 hari selepas penamaan calon mereka terpaksa menggunakan wang sendiri serta bantuan dari para penyokong. Menziarahi orang sakit, orang tua, kanak-kanak cacat perlu disertakan hamper atau wang tunai. Begitu juga mencetak risalah, memberi makan minum petugas kempen dan sukarelawan yang membantu. Belum diambil kira wang menyewa alat pembesar suara atau duit minyak sepanjang masa berkempen.Calon hampir bankrap selepas pilihan raya dan lebih sedih lagi sekiranya kalah atau hilang wang pertaruhan.
Bagaimanapun, situasi buruk itu tidak berlaku hari ini. Mood rakyat ingin berubah menyebabkan calon yang tidak mempunyai wang pun ingin bertanding. Lebih sensasi tauke balak, tauke karaoke, tauke kuari, ahli korporat, ahli perniagaan dan sebagainya sedia memberi sumbangan wang tunai. Dengan harapan akan mendapat habuan jika calon itu menang.
Maka perebutan sengit kerusi tidak dapat dielak. Kerusi di Pahang seperti Temerloh, Damak, Lanchang dan sebagainya direbut antara PAS dan PKR dua bulan sebelum pemburaran parlimen. Begitu juga kerusi di Johor. Berlaku perebutan antara PKR dan DAP.
Krisis di Sabah lebih buruk apabila puak Ansari Abdullah yang mendakwa telah bertahun-tahun bekerja diperingkat Dun serta Parlimen mengumumkan nama-nama calon tanpa restu PKR pusat. Perbuatan itu seolah-olah memaksa PKR pusat memilih calon yang telah diumum sebagai calon mutlak.
Dalam hal ini, kelihatan perangai ahli politik PR agak kebudak-budakkan menjelang hari mengudi. Parti tentunya mempunyai alasan sendiri untuk meletakkan seseorang bertanding di sesuatu kawasan. Berkemungkinan calon luar tetapi beliau seorang tokoh peringkat nasional. Kemenangannya di kerusi tersebut dirancang untuk perlantikan sebagai menteri pusat atau penasihat kepada kementerian.
Calon tempatan mungkin berpeluang menang tetapi tidak mempunyai kaliber di peringkat nasional. Dalam hal ini calon tempatan wajar memberi laluan kepada keputusan parti. Ada ketikanya calon yang diletak lebih muda dan berwibawa berbanding tokoh tempatan yang kurang bersemangat. Di kawasan yang tokoh tempatan pernah bertanding dan kalah tentulah parti sukar mencalonkan mereka sekali lagi. Sekiranya tercalon adalah atas sebab-sebab tertentu dan dilihat boleh menang.
Perkara yang perlu diutamakan oleh setiap ahli serta pemimpin parti ialah berkerja keras mencapai kemenangan. Rakyat mahukan perubahan, bukan ingin seseorang tokoh tempatan diangkat menjadi pemimpin. Tokoh kecil perlu berkorban demi memberi laluan tokoh besar untuk menggalas tugas selepas menang, memastikan harapan rakyat benar-benar mampu direalisasikan.
Apabila Pakatan menang tokoh-tokoh kecil yang tersisih tidak usah gusar. Terlalu banyak peluang untuk mendapat jawatan dan imbalan kewangan daripada jasa-jasa yang ditabur. Sekiranya parti memenangi negeri maka terbentang peluang untuk menjadi pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dengan elaun RM3,000 hingga RM5,000 sebulan. Malah lebih besar sekiranya berpeluang menerajui GLC peringkat nasional.
Mereka juga boleh diangkat menjadi senator. Tugas senator lebih mudah, hanya melibatkan diri dalam perbahasan di Dewan Negara dan mendapat gaji RM6,000 sebulan. Berbanding ahli parlimen terpaksa menangani keresahan rakyat tetapi hanya diberi gaji RM4,000 sebulan.
Jangan jadi BN
Sudah barang tentu merebut tender, kontrak dan hasil bumi bukan agenda ahli politik PR. Jika hanya ingin mendapat elaun GLC, senator, ahli majlis, pengerusi yayasan dan sebagainya maka jawatan itu di depan mata selepas PR menang.
Ahli poiltik BN merebut jawatan politik kerana ingin mendapat kuasa menentukan hasil bumi di kawasan mereka menjadi milik kroni. Perniagaan lumayan di sesebuah negeri akan diberi kepada anak beranak. Maka perebutan kerusi mempunyai asas kukuh. Kekuasaan akan menjamin kekayaan luar biasa biar pun hanya menjadi ahli parlimen atau ADUN selama sepenggal.
Dalam PR perebutan untuk menjadi calon sama sekali tidak produktif dan membuang masa. Malah hanya akan menghilangkan keyakinan rakyat untuk mengundi sebagaimana mereka hilang keyakinan kepada BN.
Dengan berlapang dada dan menerima keputusan pusat maka setelah menang pemimpin yang sedia berkorban akan menikmati keuntungan yang lebih besar berbanding yang mereka bayangkan hari ini.