Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata BN harus menunjukkan hasil perbincangan menurunkan kuasa Persekutuan kepada Sarawak, atau berdepan risiko kemenangan pembangkang dalam PRU14.
Adenan, yang merupakan pengerusi BN negeri, berkata perbincangan sekarang di fasa kedua – rundingan undang-undang yang dipimpin oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.
BN Sarawak berjanji yang ia, antara lain, akan meningkatkan bahagian negeri Sarawak daripada pendapatan minyak negara daripada 5% kepada 20%.
“Kami tidak gembira dengan aturan sedia ada,” kata Adenan kepada ahli-ahli parti di majlis makan malam penghargaan Hari Raya Puasa di Kuching malam tadi.
“Saya beritahu Perdana Menteri, saya tidak mahu dalam pilihan raya akan datang saya dilihat bergantung kepada Kerajaan Persekutuan sekiranya mereka tidak memberikan apa yang kami minta.”
Sekiranya proses ini tidak berjaya, Adenan tidak dapat menjamin kemenangan BN kerana pembangkang akan pungut isu itu.
“Jadi perlulah ada hasil sebelum Pilihan Raya Umum akan datang bagi menunjukkan kepada rakyat yang kita bukan main-main,” katanya.
PRU akan datang akan diadakan paling lewat Ogos 2018.
Adenan berkata ketetapan bersama, yang diluluskan secara sebulat suara dalam Dewan Undangan Negeri pada 2014, mahu kuasa-kuasa negeri dikembalikan seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang ditandatangani Sarawak, Tanah Melayu, Sabah, Singapura dan United Kingdom.
Beliau berkata ketetapan menurunkan kuasa Persekutuan kepada negeri disokong oleh “gelombang perasaan semua rakyat Sarawak berbilang bangsa”.
“Peraaan kami bukan sebuah negeri dalam Malaysia, sebaliknya kami sebahagian daripada pembentukan Malaysia sangat kuat, dan antara sebab kita menang kerana dilihat oleh rakyat Sarawak menjuarai perjuangan itu,” kata Adenan.
“Sekarang mereka mahu lihat hasilnya. Bahkan, kita bangkitkan hal ini dengan Perdana Menteri. Beliau berfikiran terbuka dan bantu menubuhkan jawatankuasa yang diketuai Peguam Negara dan kita diwakili Peguam Besar kerana ada banyak undang-undang yang perlu ditangani.”
Adenan tidak menyokong sebarang usaha untuk keluar dari Malaysia.
“Kita tidak akan keluar dari Malaysia. Kita mahu menyelesaikan perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang terabai samada kerana kecuaian atau kejahilan,” kata Adenan, dan menambah ekonomi Malaysia “tidak berada dalam keadaan baik”.
“Saya jangka harga minyak akan naik sedikit. Tidak beratus ringgit atau lebih. Mungkin 50 atau 60 (dolar Amerika Syarikat). Itu memadai, dan bahagian kita akan meningkat.”
BN Sarawak menang 72 daripada 82 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri 8 Mei lalu. Sarawak mempunyai 31 Ahli Parlimen, enam daripadanya adalah pembangkang.