Pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai polemik kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion mengesahkan siasatan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri sebelum ini.
Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, pihak jawatankuasa tersebut juga telah membuat siasatan berasingan daripada Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Awam (JKSTUPKK) yang ditubuhkan oleh Kementerian Pertahanan untuk menyiasat skandal tersebut.
“Laporan PAC mencerminkan dan membuktikan isu berkaitan projek LCS yang sebelum ini dibangkitkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri Dewan Rakyat yang telah saya pengerusikan dari Disember 2019 hingga Disember 2020 mempunyai asas yang kukuh.
“Saya telah memulakan siasatan mengenai projek itu memandangkan ia mengambil masa yang terlalu lama untuk disempurnakan.
“Jawatankuasa JKSTUPKK telah menekankan kepada kami pelbagai masalah dan penyelewengan yang melanda projek itu, yang kini telah disahkan PAC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Naib Presiden KEADILAN itu lagi, laporan semasa menggariskan beberapa anomali lain yang pernah beliau bangkitkan, terutama pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pengguna akhir LCS yang tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan serta BNS, kontraktor pembinaan dalam projek berkenaan.
Katanya, TLDM sebelum ini mahu menggunakan reka bentuk Sigma tetapi ini telah ditolak oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas permintaan BNS tanpa merujuk kepada TLDM pada tahun 2011. Sebaliknya, reka bentuk kelas Gowind diterima pakai walaupun TLDM menyatakan kekecewaan mereka terhadap keputusan terbabit.
“Mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang mempengerusikan JKSTUPKK ketika itu, memberitahu jawatankuasa saya sesuatu yang tidak akan saya lupakan:
“Seolah-olah anda membeli permainan, kita boleh menunggu, relaks… Jadi, melainkan jika kuasa luar datang dan mendesak perkara itu, mereka akan mengambil seberapa banyak masa yang mereka mahu. Terdapat kekurangan bertindak segera…tiada siapa yang nampaknya mahu bertanggungjawab. Tiada siapa mahu uruskan.”
“Malangnya saya tidak dapat mengeluarkan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas saya apabila pertukaran Kerajaan berlaku ekoran Langkah Sheraton,” katanya.
Menurut beliau lagi, sebagai perbandingan, Mesir telah memesan empat kapal kelas Gowind pada tahun 2013 dan yang pertama daripadanya telah ditauliahkan pada tahun 2017.
Indonesia menempah empat kapal kelas Sigma pada tahun 2010 dan yang pertama telah ditauliahkan pada tahun 2017 serta yang kedua pada tahun 2018. Malangnya Malaysia membuat tempahan pada tahun 2011 dan masih belum menerima satu pun.
“Laporan PAC juga mendapati usaha yang tidak mencukupi telah dilakukan oleh kerajaan pada masa itu terhadap keadaan kewangan BNS dan terdapat kelemahan kritikal dalam pengurusan dalamannya.
“Apa yang mengecewakan ialah kerajaan sekarang nampaknya menganggap skandal ini seolah-olah sesuatu yang tidak berkaitan langsung dengan mereka, sedangkan hakikatnya beberapa pemimpinnya berada dalam Kabinet semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika penyelewengan berlaku.
“Sekurang-kurangnya, mereka harus berterus terang tentang apa yang berlaku dalam isu ini. Memang benar beberapa individu telah ditangkap oleh SPRM dan selepas ini akan lebih ramai.
“Malangnya, belum ada pihak yang didakwa atas skandal tersebut,” katanya.
Nik Nazmi menempelak kerajaan BN – PN yang lepas tangan dan tidak melakukan siasatan segera ke atas tokoh penting kerajaan hari ini yang terlibat di dalam proses membuat keputusan dalam projek berkenaan
“Saya akan bercakap lebih lanjut tentang masa depan LCS. Sebelum itu, saya ingin membuat kesimpulan buat masa ini dengan mengatakan bahawa pihak yang bertanggungjawab tidak seharusnya menyalahkan rakyat. Sebaliknya, mereka harus bertanggungjawab atas kegagalan yang telah didedahkan oleh PAC.
“Mereka yang terbukti melakukan kesalahan mesti dibawa ke muka pengadilan.
“Situasi ini bukan sahaja memalukan negara, ia juga memperlihatkan kita akan menghadapi kesukaran untuk mempertahan negara akibat ahli-ahli politik menyeleweng wang rakyat,” katanya lagi.
Beliau menganggap kegagalan dan kecuaian projek LCS adalah satu pengkhianatan kepada perajurit dan rakyat negara ini.