Skandal pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua – Littoral Combatant Ship (LCS) sebagaimana didedahkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 4 Ogos lalu merupakan satu pendedahan yang menggemparkan.
Hal itu hanya berlaku apabila PAC diketuai oleh wakil rakyat pembangkang dari DAP Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh.
Bagi Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, beliau kagum dengan kerja kerja yang dilakukan PAC sehingga rakyat mengetahui hal yang telah disorokkan oleh pemimpin BN sejak 11 tahun lalu dalam skandal pembinaan kapal Tentere Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkenaan.
“Topik hangat minggu ini ialah kapal TLDM tak siap. Kisah ini lama diketahui umum. Hanya tidaklah terperinci sehinggalah PAC umumkan hasil kerja mereka setelah disiasat lebih 2 tahun.
“Saya angkat topi dengan anggota PAC. Tekun, sabar, cermat dan tak heboh buat kerja. Selesai teliti dokumen, kumpul dan semak keterangan saksi dan kemudian siapkan laporan dan bentang kepada Parlimen.
“Fakta yang tak mampu ditangkis ialah duit habis kapal tak siap,” katanya.
Oleh itu, Setiausaha Agung KEADILAN itu tertanya tanya apakah tindakan selanjutnya agensi kerajaan, terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Beliau juga bersimpati dengan TLDM yang tidak memiliki keupayaan tempur yang dijanjikan sejak sedekad lalu.
“SPRM apa khabar?
“TLDM pula tidak dapat kapal. Moral mereka terkesan dan keupayaan terjejas,” katanya.
Justeru, Saifuddin sekali lagi memuji ketekunan PAC mendedahkan skandal LCS dan berharap rakyat akan sedar dari lena yang panjang pada Pilihan Raya Umum ke 15 kelak.
“Semoga rakyat membuat keputusan berasaskan maklumat yang betul dan tepat
“Sekali lagi buat rakan rakan Ahli Yang Berhormat anggota PAC saya “salute” anda semua,” katanya lagi.