Oleh: Mohd Fauzi Fadzil
Perdebatan mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kembali disemarakkan apabila terdapat beberapa pihak yang mengungkit bahawa Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah berjanji di dalam manifesto mereka untuk AUKU dimansuhkan. Namun kenyataan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi iaitu Datuk Mohammad Yusof Apdal pada 16 Mac 2023 menyatakan bahawa AUKU tidak akan dimansuhkan tetapi akan dipinda bersesuaian dengan sebarang kelemahan yang terdapat di dalamnya.
Perkara pertama yang perlu difahami bahawa janji memansuhkan AUKU dilakukan oleh PH jika mereka mendapat mandat daripada rakyat selepas PRU15, namun kini kerajaan yang memerintah Malaysia adalah Kerajaan Perpaduan di mana PH tidak dapat melaksanakan sebarang tindakan sesuka hati tanpa merujuk rakan gabungan di dalam kerajaan tersebut. Justeru pemansuhan AUKU tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada Kerajaan Perpaduan kerana tiada sebarang janji dilakukan oleh kerajaan tersebut sebelum PRU15.
Bidang kuasa kabur
Perkara seterusnya yang perlu diberi perhatian adalah AUKU bukan sahaja menaungi gerakan dan pertubuhan mahasiswa, ia turut melibatkan pentadbiran universiti dan KPT. Justeru pemansuhan AUKU secara keseluruhan akan turut mengakibatkan penubuhan sesebuah universiti terbatal kerana ia dirujuk kepada AUKU sebelum ditubuhkan, malah bidang kuasa pentadbiran universiti dan KPT juga menjadi kabur kerana tiada punca kuasa untuk dirujuk.
AUKU Pindaan 2019 hanya menyentuh secara langsung isu gerakan dan pertubuhan mahasiswa pada Perkara 15 dan Perkara 16, 25. Perkara lain yang terdapat di dalam akta tersebut merangkumi pemegang taruh yang pelbagai di mana mereka memerlukan AUKU untuk berfungsi. Justeru memansuhkan AUKU yang menaungi pentadbiran universiti dan KPT akan melumpuhkan sistem pendidikan tinggi di Malaysia.
Pindaan buka ruang besar
Isu berkenaan AUKU pernah disentuh oleh YB Senator Mohd Hasbie Muda di dalam buku yang bertajuk Mahasiswa Bangkit, terdapat beberapa perkara yang dibangkitkan di dalam buku tersebut memerlukan reformasi sekitar tahun 2014. Pindaan AUKU pada tahun 2019 telah membuka ruang besar kepada mahasiswa untuk terlibat dengan politik secara bebas.
Namun terdapat beberapa perkara yang masih belum diselesaikan seperti hak pertubuhan mahasiswa untuk menguruskan kewangan mereka tanpa campurtangan pihak pentadbiran universiti. Perkara ini telah disentuh oleh Datuk Mohammad Yusof Apdal bahawa pindaan AUKU yang akan dilakukan selepas ini akan menyentuh berkenaan urusan akaun dan kewangan persatuan mahasiswa. Jika perkara ini berjaya direformasikan maka gerakan dan pertubuhan mahasiswa di Malaysia akan menjadi lebih mandiri pada masa hadapan.
Keputusan KPT untuk meminda AUKU dalam masa terdekat perlu diberi pujian memandangkan ia bakal membuka ruang kebebasan yang lebih luas kepada mahasiswa. Akta baharu bagi menggantikan AUKU hanya akan mengguna pakai semula kebanyakan peruntukan sedia ada di dalam AUKU, tindakan ini tidak ubah seperti sekadar menyalin kulit.
AUKU yang bakal dipinda nanti akan melibatkan sebuah jawatankuasa dengan penyertaan semua pemegang taruh termasuk mahasiswa, sudah pasti AUKU yang bakal dipinda nanti akan bersifat lebih terbuka dan meraikan kebebasan akademik mahasiswa.
Penulis merupakan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor