Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis jika benar terdapat lebih RM2 bilion di dalam akaun bank peribadi perdana menteri, kata peguam kepada The Malaysian Insider.
Mereka berkata, beban kini terletak kepada bank pusat melaporkannya agar siasatan segera dapat dijalankan.
“Bagaimanapun, ia bukan terpulang kepada bank pusat untuk menyiasat kes itu bagi sebarang kesalahan kerana ia tidak termasuk dalam skopnya untuk mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram atau rasuah,” kata peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.
Geethan, bekas timbalan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara memberitahu The Malaysian Insider, apabila sejumlah besar wang dipindahkan ke akaun mana-mana individu, BNM akan menerima notis pemberitahuan.
“Bank Negara akan melihat penghantar dan penerima dan jika mereka berpuas hati tiada yang luar biasa, mereka tidak akan melakukan apa-apa.
“Sebagai contoh, ia boleh jadi pergerakan wang biasa bagi seorang ahli perniagaan jutawan yang sering mendapat jumlah besar sebegitu.
“Tetapi apabila terdapat pemindahan besar dan mereka tidak melihat sebarang alasan untuknya, mereka akan memberitahu SPRM, dan terpulang kepada badan anti-rasuah untuk menyiasat,” kata Geethan yang pakar dalam kes jenayah komersial.
Geethan berkata, dalam kes melibatkan jumlah berbilion ringgit yang didakwa disimpan dalam akaun peribadi Najib, menjadi tanggungjawab BNM memaklumkan kepada SPRM dan satu-satunya pihak lain yang mempunyai maklumat itu adalah bank dan pemegang akaun sendiri .