Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub berkata undang-undang ‘pecat Perdana Menteri’ atau ‘Impeachment’ sebagaimana diamalkan di kebanyakan negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat penting bagi mengelakkan PM melakukan pelbagai kerosakan dan bertindak menghalang siasatan ke atas dirinya.
Katanya, sekiranya PM Najib Razak telus dan bertanggungjawab maka beliau perlu membawa usul sedemikian pada sidang Parlimen akan datang, pada bulan Mac depan.
“Dalam kenyataan semalam, saya sudah menjelaskan peri pentingnya perlaksanaan “Impeachment” bagi membolehkan tindakan eksekutif Pedana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri dicabar jika mereka terlibat dengan skandal jenayah, rasuah dan salah laku dalam urus tadbir negara.
“Kerana ianya suatu yang baru bagi Malaysia, saya juga telah mencadangkan supaya golongan cerdik pandai seperti para hakim, peguam dan pihak yang berkaitan agar memberi buah fikiran ke arah perlaksanaan “Impeachment’ ini yang mungkin memerlukan kepada Pindaan Perlembagaan negara.
“Namun persoalannya, sekalipun pelbagai kebaikan dapat disenaraikan melalui amalan “Impeachment” ini, bersediakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membawa cadangan ini ke Parlimen?
“Satu soalan yang memerlukan jawapan berjiwa besar daripada Najib yang kini terpalit dengan skandal terbesar negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya dan tentunya seluruh rakyat Malaysia menunggu jawapan dari Najib dengan penuh harap,” kata Salahuddin dalam satu kenyataan.