Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini menyenaraikan beberapa faktor yang menjurus kepada kemerosotan pasaran perumahan Malaysia pada masa ini, kata exco sayap pemudanya, Mohd Ammar Atan.
Jelas beliau, antara faktor tersebut ialah produk perumahan yang ditawarkan adalah di luar kemampuan majoriti rakyat Malaysia dan pendapatan rakyat tidak meningkat sejajar dengan perkembangan harga rumah dan keperluan lain.
“Faktor lain pula ialah lebih banyak rumah berharga RM400,000 keatas dibina oleh pemaju dalam majoriti rakyat bergaji di bawah RM4,000 sebulan selain pinjaman bank tidak lagi layak kerana bebanan sedia ada sudah terlalu tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, katanya, institusi perbankan bukanlah punca pasaran perumahan yang kian merudum.
“Meletakkan kesalahan hanya kepada bank adalah tidak tepat kerana piawaian pinjaman adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk mengatasi muflis dan mengelakkan ‘sub-prime loan’,” katanya.
Pada bulan September yang lalu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda), Datuk Seri FD Iskandar berkata, jualan hartanah di Malaysia susut 39 peratus pada separuh pertama 2016 berbanding 52 peratus setahun lalu.
Ini berlaku, kata FD Iskandar, berikutan permintaan yang lebih lembab serta isu berkaitan pembiayaan akhir dengan pembeli pertama kali merosot 13 peratus dalam tempoh itu.
Separuh daripada unit kediaman yang dilancar berharga di bawah RM500,000 dan semua negeri mengekalkan harga, kecuali Melaka, ujarnya.
“Isu utama dihadapi pembeli ialah apabila mereka mendapat pembiayaan 75 hingga 80 peratus,” kata FD Iskandar lagi.
Mengulas lanjut, Mohd Ammar berkata, justeru, pihaknya mencadangkan kerjasama antara pihak kerajaan, pemaju dan institusi kewangan untuk menyelesaikan polemik pasaran perumahan itu.
“Tuding-menuding hanya akan melanjutkan krisis dengan rakyat juga yang menderita akhirnya, bak kata pepatah ‘gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati ditengah-tengah’,” katanya lagi. Mkini