Penganalisis ekonomi yang mengetuai sekumpulan badan pemikir antarabangsa bernama Istanbul Network for Liberty, Ali Salman berkata, Pakistan merupakan contoh yang buruk bagaimana rakyat tidak ditingkatkan sosioekonomi, sebaliknya agama digunakan untuk mengekalkan kuasa sesebuah parti politik.
“Masalah Pakistan berpunca daripada urus tadbir lemah dan dasar luar yang tidak mesra. Ada pelampau tetapi bukan kerana Islam. Ia terbentuk dalam Islam radikal, tetapi punca masalah ialah isu sosial dan ekonomi yang tidak ditangani selama beberapa dekad,” katanya kepada FMT.
Ali berkata, ramai pemimpin terdahulu Pakistan – termasuk bekas perdana menteri Zulfikar Ali Bhutto dan bekas presiden Zia-ul-Haq – menggunakan Islam sebagai satu daripada cara untuk menghalalkan pemerintahan mereka dan membangunkan dasar “Islam” yang mempunyai lebih banyak “bentuk” daripada “fungsi”.
Malaysia, katanya, boleh belajar daripada kesilapan Pakistan.
“Apabila anda ada lebih banyak ‘bentuk berbanding fungsi’, anda beri Islam nama buruk. Jika anda paksa wanita bertudung atau fokus untuk menghukum orang, maka anda sedang merosakkan imej agama,” jelasnya.
Mengulas mengenai Malaysia beliau mengingatkan agar ahli politik negara ini menggubal dasar lebih luas untuk semua lapisan masyarakat dan bukan hanya menumpukan umat Islam
“Parti politik Islam yang menumpukan Islam sahaja dan tidak menangani isu sosial, ekonomi, urus tadbir serta rasuah, tidak berpandangan jauh,” katanya
Ali yang berasal dari Pakistan turut mempersoalkan rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang dicadangkan PAS.
“PAS bercakap tentang kanun jenayah yang sepatutnya menjadi agenda terakhir, bukannya titik permulaan.
“Titik permulaan bagi sebuah parti Islam adalah menyelesaikan masalah dihadapi rakyat. Parti Islam perlu aktif dari segi sosial dan ekonomi.”
Menurutnya, kejayaan sesebuah kerajaan Islam tidak diukur dengan kewujudan undang-undang Islam, sebaliknya dinilai petunjuk sosioekonomi.
“Adakah pekerjaan diwujudkan, pelaburan meningkat, kesihatan dan pendidikan lebih baik? Ini yang menentukan kejayaan sebuah kerajaan Islam.”
Katanya, setahu beliau, Kelantan yang ditadbir PAS bukannya “jauh lebih hebat” daripada negeri lain.
Pada 18 Februari lalu, PAS mengadakan Himpunan RUU 355 bagi menyokong cadangan pindaan itu, yang mahu menetapkan hukuman maksima lebih berat terhadap pesalah syariah.
Ali turut menekankan kepentingan kebebasan individu, ekonomi, politik dan agama.
Katanya, tindakan mengekang sebarang jenis kebebasan akan menyebabkan rakyat lambat laun bangkit seperti yang berlaku di Mesir pada 2011, akibat sekatan kebebasan politik dan ekonomi.
Ali berkata, kebebasan beragama adalah intipati Islam kerana tiada paksaan dalam Islam.