Oleh: Selena Tay
Untuk bulan Ogos yang lalu, sektor perindustrian terutamanya para pengilang telah mengalami penurunan tempahan baharu produk. Justeru itu, aktiviti pengilangan telah jatuh ke paras 47.2 mata dari paras 47.7 mata pada bulan Julai tahun ini.
Paras ini diukur oleh Nikkei Malaysia Manufacturing Purchasing Managers’ Index (PMI). Tahap piawaian yang ditentukan oleh pihak dari Jepun ini mengukur aktiviti pengilangan dalam sesebuah negara.
Paras dibawah 50 mata bermakna ekonomi negara itu sedang mengalami penguncupan terutamanya dalam sektor perusahaan dan paras diatas 50 mata bererti ekonomi negara tersebut sedang berkembang.
Kini sudah ada kilang yang telah mengurangkan jumlah pekerja mereka kerana permintaan untuk barangan yang dihasilkan oleh kilang itu sudah berkurangan.
Operasi pengilangan di Malaysia sekarang adalah suram disebabkan oleh kos bahan mentah yang mahal kerana kadar tukaran wang asing yang tidak menyebelahi kita dan perlaksanaan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan pada 1 April lalu pada kadar 6% yang membebankan para pengilang.
Pengurangan tempahan baru dan kos bahan mentah yang kian meningkat jika berlanjutan akan memberikan kesan yang buruk kepada ekonomi negara kita kerana kadar pengangguran akan turut naik juga apabila pembuangan pekerja dilakukan oleh majikan.