Pakatan Harapan menyifatkan sesuatu yang pelik jika pihaknya tidak berjaya menawan Johor dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang, kata Parti Amanah Negara (Amanah).
Presidennya Mohamad Sabu berkata, semua tanda-tanda menunjukkan ke arah itu dan situasi sebaliknya tidak sepatutnya berlaku memandangkan pergolakan di negeri itu dalam parti lawan, Umno, ketika ini.
Ia termasuk reaksi yang pelbagai susulan daripada penyingkiran Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berasal dari Johor daripada pentadbiran negara Julai lalu.
“Johor ini, kalau Pakatan Harapan tidak boleh ambil alih, peliklah. Dengan pelbagai pergolakan yang berlaku di Johor sekarang.
“Dengan pelbagai isu, Muhyiddin, Pengerang dan sebagainya, semuanya berpusat di Johor dan menjadi tempat yang paling subur untuk perubahan,” katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu di depan kira-kira 50 penyokongnya yang berhimpun di sebuah kedai makan dekat Skudai petang semalam.
Majlis minum petang itu diadakan sempena perhimpunan pertama Pakatan Harapan yang diadakan di Kulai, kira-kira 30km dari lokasi itu.
Kenyataan Mat Sabu disokong Timbalan Ketua Amanah Kulai, Ramli Abdullah, ketika memberikan ucapan di majlis perhimpunan pertama pakatan itu di Kulai pada malamnya.
“Pada tahun 1990, Angkatan Perpaduan Ummah berjaya merampas Kelantan selepas gabungan itu ditubuhkan di Kelantan sebelumnya.
“Pakatan Rakyat berjaya merampas Selangor selepas ia dilancarkan di negeri itu sebelumnya.
“Kita yakin akan berjaya merampas Johor selepas kita lancarkan Pakatan Harapan di Johor malam ini,” kata Ramli yang buat pertama kalinya menganggotai sesebuah parti politik.
Ucapan Ramli disambut tepukan gemuruh lebih 3,000 orang ramai yang hadir pada majlis pertama Pakatan Harapan selepas diumumkan pembentukannya di Subang, Selangor pada 22 September lalu.
Timbalan pengerusi Amanah di Johor, Dzulkifli Ahmad ketika ditemui berkata, penubuhan Pakatan Harapan di negeri itu disambut dengan baik ketiga-tiga parti ahli Pakatan di Johor.
Bahkan, katanya, sebelum pengumuman rasmi susulan sidang meja bulat di Subang itu, PKR, DAP dan Amanah di Johor mengumumkan mengenai keperluan gabungan itu dibentuk dalam 2 kenyataan media.
“Kita di Johor umumkan pakatan bersama ini lebih awal, melalui dua kali kenyataan media bersama. Ketika itu kami namakan Pakatan Rakyat 2.0,” katanya kepada The Malaysian Insider, membayangkan kebersamaan mereka dalam agenda menawan Johor pada PRU14 yang dijangka diadakan pada 2018.