Apabila industri perbankan mengurangkan jumlah pekerjanya, isyarat yang boleh dibaca adalah ekonomi sesuatu negara itu sedang mengalami masalah. Industri perbankan merupakan satu industri yang stabil, kukuh dan menguntungkan majikan, pekerja serta negara.
Pengurangan pekerja bermakna industri tersebut sedang membuat persediaan masa depan menghadapi kekurangan modal pusingan akibat hutang tidak berbayar sekiranya ekonomi mengalami penguncupan dan rakyat kehilangan mata pencarian.
Seorang pekerja bank (enggan dinamakan) yang kehilangan pekerjaan baru-baru ini berkata, penguncupan ekonomi pada tahun 2016 telah diramalkan oleh sektor perbankan walaupun pihak kerajaan enggan mengakuinya.
Beliau yang telah bekerja di salah satu bank terkemuka lebih daripada 20 tahun memberitahu walaupun dunia sedang mengalami ketidakstabilan ekonomi, Malaysia merupakan satu-satunya negara di rantau ASEAN yang sedang merasa kesannya dengan agak parah apabila mata wang ringgit jatuh mendadak dan para pelabur asing menarik keluar modal mereka akibat kurang keyakinan terhadap pentadbiran negara
“Pelabur asing memberitahu saya mereka berpendapat kerajaan kita tiada hala tuju yang jelas dan tidak mengambil langkah yang konkrit untuk menangani masalah ekonomi.
“Selain dari itu, isu perkauman menambah lagi faktor ketidak stabilan itu.
“Kalau situasi ini dibiarkan berlanjutan, maka tidak mustahil negara kita akan mencapai kedudukan yang tercorot di rantau ASEAN,” katanya.