PM Najib boleh bergembira untuk seminggu lamanya selepas berjaya mengharungi ujian undi meluluskan Bajet 2016. Namun kegembiraan itu adalah tidak tulen apabila kerajaan BN semakin dibenci rakyat.
Rata-rata dalam tinjauan Suara Pakatan Daily, rakyat amat tidak berpuas hati terhadap Bajet 2016 yang membelakangkan mereka. Terdapat banyak potongan peruntukan ketika rakyat bergelut menghadapi suasana ekonomi yang semakin meruncing.
“Ahli-ahli Parlimen BN amat tidak prihatin kerana meluluskan Belanjawan 2016. Kita pemandu teksi sangat susah sekarang. Penumpang kurang, GST (Cukai Barangan Dan Perkhidmatan) tinggi, susah mahu cari makan macam ini,” kata Arun, seorang pemandu teksi, 41 tahun yang ditemui di Kuala Lumpur.
Beliau menambah, pelbagai kesulitan diharungi pemandu teksi ketika ini dan kerajaan tidak menghiraukan nasib mereka yang dibiarkan bersaing dengan teksi sapu seperti perkhidmatan Uber.
Manakala seorang kerani bank, Jenny Wong berkata Bajet 2016 berjaya lulus kerana rakyat tidak cukup cerdik. Masih banyak yang mengundi BN sehinggakan rakyat terpaksa bergantung kepada belas kasihan pihak kerajaan agar tidak menaikkan sebarang harga atau caj.
“Kena tunggu sampai pertengahan tahun 2018 untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 baru boleh ubah kerajaan,” katanya muram.
Seorang lagi, kerani firma guaman di Kuala Lumpur, Osman, 25 tahun mengharapkan akan berlaku perubahan dalam pilihan raya umum 2018 kelak.
“Tengok, rakyat Myanmar pun dah ubah kerajaan. Jangan kita terbelakang pula. Semua ini (kelulusan bajet) berlaku kerana rakyat Malaysia tidak cerdik. Kalau Pakatan menang PRU lalu sudah tentu tidak ada GST dan belanjawan seperti ini,” ujar Osman yang berkata dari awal lagi beliau tahu Bajet 2016 akan diluluskan.
Seorang pemandu bas dan tiga orang lagi pemandu teksi yang diwawancara meluahkan kerunsingan sama mengenai kos sara hidup yang meningkat. Mereka juga menyatakan kekecewaan mereka dengan hala tuju negara ini .