Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli membuat pendedahan terbaru, menyentuh isu Tabung Haji (TH) yang telah membeli saham syarikat pembuat roti, Silverbird Group Berhad atau High-5 pada harga yang cukup tinggi pada tahun 2007.
Malangnya, kata Rafizi, dalam tempoh tak sampai sebulan selepas TH membeli saham-saham tersebut secara agresif – antara September hingga Oktober pada tahun sama – sehingga melonjakkan harga saham dari 39 sen sesaham kepada RM1.08 sen sesaham namun pada tahun 2011, syarikat berkenaan diisytiharkan tidak mampu menanggung perbelanjaan perniagaan dan menyebabkan TH rugi RM98 juta.
“Mengambil kira harga asal saham Silverbird pada 39 sen sesaham, ini bermakna anggaran pelaburan TH dalam bulan September 2007 mencecah RM98 juta (menambil kira TH membeli pada harga naik mendadak).
“Malangnya, prestasi operasi dan kewangan merundum selepas itu dan tidak memberangsangkan. Menjelang tahun kewangan berakhir pada 31 oktober 2011, Silverbird catat kerugian terkumpul sebanyak RM44 juta dan syarikatnya digantung dan disemaraikan sebagai syarikat bersatatus PN17 (tidak boleh didagangkan).
“Nilai sahamnya kini adalah sekitar 4 sen sesaham yang menyebabkan keseluruhan pelaburan TH berjumlah RM98 juta hangus begitu sahaja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di Petaling Jaya.
Maka, sehubungan dengan itu, Rafizi yang juga merangkap Setiausaha Agung KEADILAN menuntut pengurusan Lembaha TH menjelaskan kepada rakyat berhubung pembelian saham dalam syarikat pembuat roti itu.
“Kenapa TH membeli saham Silverbird secara mendadak dan menyebabkan TH membayar premium 177 peratus? Dan Bagaimana TH boleh membuat kesilapan pelaburan sehingga rugi RM98 juta pelaburan asal dalam tahun 2007? Walaupun jumalh itu agak kecil pada masa kini namun ia sangat besar pada tahun tersebut.
“Dan kita juga minta mereka jawab, berapa jumlah sebenar pelaburan dan kerugian terkumpul TH dalam Silverbird setakat ini dan siapakah yang telah dibawa ke muka pengadilan?” soalnya.