Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Perak yang bimbang dengan pengedaran borang pengambilan peneroka baru seolah-olah membantah anak-anak peneroka Felda dikalangan generasi kedua yang berhak mendapatkan tanah bagi tujuan penerokaan baru.
Setiausaha, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Salman Hj Salleh berkata bersetuju bahawa generasi kedua Felda tidak dibela oleh Kerajaan selama ini.
“Bagi kami, Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (ANAK) yang menggerakkan kesedaran bagi membantu generasi kedua Felda yang sepatutnya diberikan hak yang selama ini dinafikan oleh Felda perlu diberikan penerangan yang sewajarnya. Kami akan membantu ANAK terutama Felda-Felda yang berada di Negeri Perak agar diberikan penerangan yang jelas hak-hak generasi kedua Felda yang selama ini ditindas. Malah kami juga akan membantu mengedarkan borang-borang pengambilan peneroka baru tersebut.
“Kami yakin generasi kedua Felda akan bersama kami berjuang bagi memastikan tuntutan yang diketuai oleh ANAK ini berjaya dibela. Malah kami yakin, pihak Kerajaan akan tunduk dengan desakan ini dan akhirnya memberikan hak kepada generasi kedua Felda ini,” katanya.