Walaupun laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mendapati Perdana Menteri pernah melakukan sebarang salah laku, Datuk Seri Najib Razak masih perlu bertanggungjawab terhadap kelemahan tadbir urus dalam syarikat itu.
Menjelaskan kenapa Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB tidak merujuk kepada Najib, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, ini kerana pihak pengurusan 1MDB tidak menyebut nama Perdana Menteri, apabila dipanggil oleh jawatankuasa parlimen.
“Satu-satunya perkara yang kami ada berhubung (Najib) ialah resolusi pemegang saham yang beliau tandatangani,” katanya di luar Dewan Rakyat, hari ini.
Bagaimanapun, Tony mendakwa, Najib tentu tahu mengenai urus niaga syarikat itu.
“Beliau tandatangan semua urus niaga itu,” katanya sambil menambah, Fasal 17 di bawah Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) 1MDB memperuntukkan Najib perlu meluluskan semua urus niaga dan pelaburan syarikat milik Kementerian Kewangan itu.
“Sekurang-kurangnya beliau perlu memikul tanggungjawab sebagai menteri,” katanya.
Tambahnya, laporan PAC yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini telah mencadangkan siasatan yang dijalankan Ketua Audit Negara dan PAC dihalang, disebabkan kurangnya kerjasama yang diberikan syarikat itu.
Tony mendakwa, bukti-bukti terhadap 1MDB masih “menjahanamkan” , sekalipun tanpa maklumat mengenai transaksi antarabangsa syarikat itu dan kegagalan PAC mendapatkan keterangan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Hazem Abd Rahman, pegawai-pegawai Bank Negara, pengaudit Ernst & Young serta beberapa individu kontroversi, seperti Low Taek Jho.
Menurutnya lagi, PAC turut mendapati, usaha sama syarikat itu dengan Petrosaudi dijalankan tanpa pengetahuan dan kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB, selain bekas Pengerusinya, Tan Sri Mohd Bakke Salleh telah meletak jawatan sejurus selepas itu sebagai tanda bantahan.
Transaksi Petrosaudi itu menyaksikan satu jumlah besar wang dipindahkan daripada syarikat terbabit kepada Good Star Limited, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low, di mana 1MDB mendakwa ia adalah anak syarikat Petrosaudi.
Bagaimanapun, kata Tony, PAC tidak menjumpai sebarang bukti untuk menyokong dakwaan syarikat itu.
“Selain USD700 juta yang dipindahkan pada 2009, 1MDB seterusnya memindahkan tambahan USD300 juta kepada Good Star pada 2011,” katanya.