Naib Presiden dan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor Dato’ Iskandar Abdul Samad memberi tamparan hebat kepada puak radikal Pas apabila menyokong secara terbuka saranan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar pembangkang mengadakan genjatan senjata menjelang PRU 14.
Iskandar menyatakan demikian dalam satu kenyataan media petang semalam yang menyeru pembangkang kembali bersatu bagi mengelakkan keputusan teruk dalam pilihan raya kecil Sungai Besar.
“Saya menyokong gesaan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS agar parti-parti pembangkang menumpukan usaha untuk menumbangkan Barisan Nasional dan bukan bertelagah sesama sendiri.
“Keputusan PRK Sg Besar menunjukkan bahawa jika pembangkang gagal mencapai persefahaman pilihan raya (electoral understanding) maka Barisan Nasional yang akan meraihkan keuntungan. Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan realiti politik tersebut.
“Jika suasana hari ini berlarutan kemungkinan Barisan Nasional akan terus memerintah Malaysia dan Selangor akan dapat dirampas semula oleh mereka pada pilihan raya umum yang akan datang.
“Satu formula yang akan memastikan prinsip-prinsip semua pihak dihormati mesti dicari,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, amat tidak adil rakyat dibebani dengan perbalahan berpanjangan pembangkang danmemberi kelebihan kepada BN terus meluluskan dasar yang menindas.
“Rakyat Malaysia sudah sekian lama tersiksa di bawah pentadbiran Barisan Nasional
“Sejak Mac 2008, rakyat negeri Selangor menikmati banyak manfaat dari kerajaan negeri yang tidak dinikmati sebelum ini.
“Pemimpin-pemimpin politik mesti memikirkan tentang masa depan dan nasib rakyat. Apa yang penting kepada orang politik mungkin berbeza dari apa yang penting kepada rakyat biasa,” katanya.
Namun pemimpin aliran keras Pas seperti Nik Mohammad Amar, Nasruddin Tantawi, Nik Abduh atau Dr Zuhdi masih belum mengeluarkan kenyataan mereka. Berkemungkinan mereka akan menghentam golongan sederhana Pas tersebut kerana bertentangan dengan semangat berbaik-baik dengan Umno.
Pas juga mungkin melakukan U-turn sekiranya Mursyidul Am Dr Haron Din yang gemar dengan polisi bermesra dengan Umno mengeluarkan kenyataan atau pun Presiden Hadi ‘berang’ menyerang kenyataan pemimpin bawahannya.
Pemerhati politik berkata keadaan amat menarik dalam sehari dua ini yang mungkin menimbulkan perpecahan lebih meluas dalam parti Islam itu sekiranya golongan radikal bertindak balas mencantas idea pelik ‘meninggalkan’ Umno yang dilihat sekutu baharu tidak rasmi Pas.