Himpunan #TangkapMO1 berjaya mengumpulkan ribuan mahasiswa dan NGO serta parti politik di tengah-tengah ibu kota. Himpunan bermula di tiga lokasi pada kira-kira jam 1.30 petang. Lokasi tersebut adalah Masjid Negara, Sogo dan Stesen LRT Masjid Jamek.
Himpunan sepenuhnya dikendalikan oleh kumpulan mahasiswa. Pemimpin politik hanya dibenarkan berucap di Masjid Negara sahaja. Ucapan di Jalan Raja Laut berhampiran Dataran Merdeka hanya dilakukan oleh kumpulan mahasiswa.
Sogo : 1.30 petang
Dataran Merdeka dan sekitar Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudahpun di tutup dan dikawal oleh pihak polis. Di hadapan Sogo orang ramai sudah mula berkumpul.
Masjid Negara : 2.00 petang
Selepas solat Zohor peserta demontrasi mula berhimpun dengan melaungkan slogan “Hidup Mahasiswa”. Ketika ini Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad sedang berucap di hadapan masjid negara.
Beliau mengucapkan tanniah kepada mahasiswa dan anak muda yang gigih menganjurkan himpunan #TangkapMO1. Mahasiswa ujarnya lagi, terpaksa menanggung beban atas penyelewengan kerajaan dalam isu 1MDB apabila pinjaman PTPTN terpaksa dipotong.
Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berkata beliau berasa bangga kerana dapat melihat kebangkitan mahasiswa menuntut hak mereka.
“Saya berasa bangga menjadi seorang datuk kerana saya sempat melihat cucu-cucu saya menuntut hak mereka.Saya minta pihak polis memberikan kebenaran kepada kami untuk berarak ke Dataran Merdeka.
“Saya juga bangga kerana setelah beberapa dekad mahasiswa bangkit. Saya ini mahasitua bukan mahasiswa tapi saya turut berada di sini.Saya merestui apa yang sedang dilakukan ini,” katanya yang hadir bersama isterinya.
Dataran Merdeka: 3.20 petang
Berlaku sedikit kekecohan di hadapan Dataran Merdeka namun berjaya diredakan ARiF.
Ketika ini dua kumpulan dari Sogo dan Masjid Negara sudah bergabung berkumpul di hadapan Dataran Merdeka.
Sekitar Dataran Merdeka: Jam 4.00 petang
Pentas ucapan yang berada di hadapan kawasan Dataran merdeka kini di pindahkan di hadapan kawasan DBKL pihak penganjur tidak mahu menghalang lalu lintas.
Himpunan secara rasmi di hadapan kawasan Dataran Merdeka dimulakan secara rasmi dengan dimulakan ucapan wakil mahasiswa.
Suasana himpunan yang dianggarkan dihadiri seramai 3,000 penyokong ini dimeriahkan dengan nyanyian lagu semangat ‘Ale-ale Malaysiaku’ yang diiringi gendang meriuhkan lagi suasana perhimpunan #Tangkap MO1 petang ini. Lagu-lagu mahasiswa ini bersama rakyat berkumandang di Jalan Raja Laut berhadapan bangunan DBKL.
Dalam ucapan jurucakap Gabungan # TangkapMO1, Anis Syafiqah Md Yusof menyamp aikan amanatnya dalam perhimpunan diadakan itu. Selain mengucapkan terima kasih kepada peserta yang hadir untuk menyokongan usaha dilakukan gabungan mahasiswa ini.
Beliau juga berterima kasih kepada pihak keselamatan terutama kehadiran seramai 600 anggota polis yang memberikan kerjasama sebaik mungkin kepada semua peserta dan penganjur kali ini. Himpunan tamat jam 4.30 petang. Malaysia dateline