Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan Pakatan Harapan akan memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya berjaya menguasai kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum ke 14.
Beliau berkata kader-kader PH harus menggunakan isu ekonomi yang menekan kehidupan rakyat sebagai bahan utama untuk berkempen.
“Isu ekonomi harus digunakan oleh Pakatan untuk meraih sokongan rakyat. Isu yang penting hari ini ialah kos sara hidup yang semakin meningkat, rakyat yang semakin kekurangan wang dan perbelanjaan harian yang sungguh menekankan.
“Pakatan akan memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan kalau berjaya menjadi Kerajaan Persekutuan,” kata Guan Eng dalam ucapan beliau di konvensyen DAP, 11 Disember lalu.
Konvensyen itu dikejutkan dengan kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dalam komennya kepada media, Mahathir berkata, tugas parti pembangkang ialah untuk menumbangkan kerajaan dan tiada satu pun parti pembangkang di dunia ini yang hendak mengekalkan kuasa kerajaan yang sedia ada.
Beliau juga memberitahu, demi meraih sokongan masyarakat Melayu Umno memberi gambaran kononnya PRU14 merupakan pertembungan di antara parti itu dengan DAP dan kalau DAP menang maka Melayu akan kehilangan kuasa politik mereka.
Mahathir juga dalam komennya bahawa pandangan beliau terhadap DAP pada masa yang lampau adalah “tak betul”. Beliau juga terkejut bahawa lagu parti DAP yang dinyanyikan oleh perwakilan adalah dalam Bahasa Malaysia sedangkan lagu parti MCA bukannya dalam bahasa cina.