Parti pembangkang dari semenanjung Malaysia masih kuat dan popular berbanding parti tempatan di Sabah, kata Stephen Wong.
Pengerusi DAP Sabah itu berkata oleh itu tidak ada sebab untuk mereka memberi laluan mudah kepada parti tempatan di Sabah bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Ini bukan pandangan rakyat (di Sabah). Itu hanyalah pandangan peribadi. Sebagai parti nasional yang sudah lama berkhidmat kepada rakyat, sudah tentu kita lebih banyak mendapat sokongan berbanding parti tempatan di Sabah.
“Kalau ikut keputusan PRU lalu, kita lebih banyak mendapat sokongan. Alasan sebegitu tidak cukup untuk menghalang parti pembangkang dari semenanjung untuk bertanding,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas ketua PKR Sabah Datuk Lajim Ukin yang meminta bekas partinya dan parti pembangkang dari semenanjung supaya jangan bertanding di negeri itu pada PRU akan datang.
Lajim yang juga presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) berkata parti tempatan Sabah perlu diberi peluang untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) berdasarkan pertandingan 1 lawan 1.
Stephen berkata partinya bersikap terbuka dan sedia kerjasama dengan parti tempatan di Sabah dalam mewujudkan pertandingan 1 lawan 1 di negeri itu dalam PRU.
Bagaimanapun, katanya parti tempatan di Sabah dinasihatkan tidak bersikap mementingkan diri sendiri dan perlu sentiasa berbincang dengan parti nasional.
“Banyak parti tempatan di Sabah, cakap mahu 1 lawan 1, tetapi semua mahu jadi ‘King’, ketua menteri dan bertanding di semua kerusi.
“Kita boleh kerjasama dengan mereka, tetapi mereka juga mesti adil dan berbincang dalam usaha untuk menumbangkan BN di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar berkata partinya tetap akan bertanding di Sabah kerana mempunyai kekuatan sendiri di negeri itu.
Katanya, isu ini tidak perlu timbul dan sepatutnya parti pembangkang perlu bekerjasama dan tunjukkan semangat untuk menubuhkan kerajaan dan membawa perubahan.
“Kita sudah wujudkan PKR di Sabah selama 18 tahun dan mendapatkan kemenangan di sana.
“Itu pendirian mereka, dan akhirnya kita akan ke meja rundingan dengan parti tempatan di Sabah bagi memastikan 1 lawan 1,” katanya.