Penganalisis pasaran mendapati langkah kerajaan mahu mengumumkan harga runcit minyak secara mingguan tidak praktikal kerana harga bahan api itu masih mahal berbanding di negara maju.
Menurut Jameson Tan, harga bandingan bahan api dan pendapatan di Malaysia dan United Kingdom misalnya, jauh lebih mahal sekiranya diambil kira gaji bulanan rakyat negara ini.
Beliau turut berasa hairan mengapakah Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar minyak tidak dapat memberi manfaat penuh kepada rakyatnya dengan menjualkan minyak kepada rakyat pada harga yang murah.
“Di Britain, harga minyak ialah sekitar 1 pound 17 pence seliter kerana mereka ada North Sea Oil tetapi itu pun bukan banyak sangat. Namun harga minyak di sana adalah amat rendah.
“Bolehkah harga minyak di Malaysia jatuh ke paras 1 ringgit 17 sen seliter?” tanya Jameson.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hamzah Zainuddin baru-baru ini mengumumkan harga siling minyak akan diumumkan pada hari Isnin setiap minggu bermula bulan April akan datang.
Bagi Jameson, pengumuman terbaharu itu hanyalah untuk meredakan kemarahan rakyat berikutan kenaikan minyak sebanyak 20 sen pada Januari dan Februari.
“Saya berpendapat langkah yang disebut itu adalah untuk meredakan kemarahan rakyat disebabkan oleh harga minyak yang tinggi di pasaran tempatan
“Saya selalu memantau harga minyak di pasaran dunia dari graf ‘Brent crude price’ dan mendapati untuk bulan Februari, harga minyak menurun sedikit.
“Oleh itu, saya tidak faham mengapakah untuk bulan Mac harga minyak RON95 masih lagi berada pada paras RM2.30 iaitu sama dengan harga bulan Februari lalu.
“Ramai rakan usahawan saya berkata harga minyak di sini sama sekali tidak mengikut harga pasaran dunia. Rakyat di bandar tahu dan sudah rasa marah terhadap kerajaan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Mengulas kemungkinan pembangkang akan mengumumkan manifesto menurunkan harga minyak, Jameson berkata julat harga yang berpatutan adalah tidak melebihi RM1.50 seliter bagi petrol yang biasa digunakan rakyat, manakala harga diesel harus lebih rendah daripada itu.
“Harga minyak di Malaysia walaupun sebuah negara pengeluar jelas terlalu tinggi.
“Saya pikir jika Pakatan Harapan mahu menurunkan harga minyak maka RM1.20 seliter adalah yang paling sesuai. Semua orang tentu mahu harga minyak yang murah,” tegas Jameson.