Isu kos sara hidup akan menjadi penentu parti mana yang akan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bukannya pertandingan 1 lawan 1 antara Barisan Nasional dan pembangkang, kata Datuk Ibrahim Ali.
Presiden Perkasa mengambil contoh pengalaman Semangat 46 yang gagal memenangi PRU 1990 walaupun mereka lantang memperjuangkan isu rasuah. Katanya, rakyat tidak memandang serius isu itu.
“Pada waktu itu kos sara hidup tidak menjadi masalah dan rakyat menyerahkan mandat kepada parti pemerintah sedia ada,” katanya semasa sidang media di pejabatnya hari ini.
Bekas ketua pemuda Semangat 46 itu berkata, mereka mempunyai pakatan pilihan raya yang berasingan dengan DAP dan PAS pada waktu itu.
“Jadi kami kebanyakannya bertanding 1 lawan 1 antara pembangkang dan kerajaan,” katanya. “Ketika itu Semangat 46 lantang menentang masalah rasuah dan projek mega oleh parti pemerintah tetapi gagal, kerana kos sara hidup waktu itu masih terkawal dan dalam keadaan baik.”
Beliau mengulas isu itu apabila ditanya mengenai peluang parti pembangkang memenangi PRU-14 susulan kemasukan PPBM dalam Pakatan Harapan, sekaligus membolehkan pertandingan 1 lawan 1 yang lebih meluas.
Katanya, kebanyakan negara yang menyaksikan perubahan pemerintah dihimpit isu kos sara hidup walaupun ada isu lain yang lebih besar melibatkan urus tadbir kerajaan.
“Saya belajar politik global dan saya melihat di kebanyakan negara, perubahan dicapai melalui rampasan kuasa atau pilihan raya kerana mereka tidak puas hati terhadap kos sara hidup.”
Ibrahim memberi contoh prestasi pilihan raya terburuk BN pada 2008, pada era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, akibat kenaikan kos sara hidup yang melampau. Perbalahan kerajaan dan pembangkang ketika itu hanya faktor sampingan.
“Zaman itu, kempen ‘BN = Barang Naik’ sedang hangat dengan harga gula minyak petrol naik mendadak. Keadaan sama juga berlaku sekarang kerana rakyat tidak berpuas hati dengan kenaikan kos sara hidup walaupun kerajaan menyediakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” katanya.
“Apabila rakyat tidak berpuas hati mengenai kos sara hidup, mereka akan ubah pemerintah sedia ada. Mereka tidak peduli siapa yang menggantikan kerajaan.”
Dalam perkembangan lain Ibrahim berkata Perkasa akan menganjurkan persidangan meja bulat membincangkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pada 1 April ini.
Kata Ibrahim, isu UEC perlu dibincangkan kerana sistem pendidikan haruslah menjurus ke arah semangat nasionalisme.
“Persoalan desakan pihak tertentu yang mahu sijil UEC diiktiraf bukan setakat harus memenuhi kriteria kementerian pendidikan, tetapi mesti dilihat dalam perspektif sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.
Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu turut bimbang sekiranya terdapat tekanan politik dalam isu UEC.
“Kita kena hentikan apa sahaja isu berkaitan akademik, atau polisi ekonomi yang dibuat oleh pihak tertentu menggunakan pengaruh politik,” katanya.
Antara panel yang akan bersama dalam sesi tersebut adalah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) Dr Saleeh Rahamad, Ketua Kluster Pendidikan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Teo Kok Seong dan tokoh perundangan Adnan Seman.
Satu resolusi akan dibuat selepas rundingan itu dan akan disampaikan kepada kerajaan untuk tindakan selanjutnya, kata Ibrahim.
UEC adalah sijil peperiksaan yang dikendalikan badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.
Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini memaklumkan pengiktirafan sijil itu hanya terpakai sebagai syarat kemasukan ke universiti swasta sahaja kerana kurikulumnya tidak memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Kebangsaan. FMT