Usul memutuskan hubungan antara PAS dan PKR di Selangor sekiranya diluluskan kepimpinan tertinggi parti hanya akan menguntungkan seteru mereka, Amanah, kata Pesuruhjaya PAS Datuk Iskandar Samad.
Ditemui pemberita di Dewan Negeri Selangor hari ini, Iskandar berkata keberadaan PAS dalam jemaah exco negeri memastikan parti serpihan itu berada di luar lingkungan kuasa di Selangor.
Beliau menjawab soalan pemberita sama ada usul tersebut akan membawa kepada pemecatan atau peletakan jawatan exco PAS dalam kerajaan negeri.
“Kita tidak takut hilang jawatan…,” kata Iskandar, yang juga exco kerajaan negeri. “…tapi kita takut Amanah akan masuk (ke dalam pentadbiran kerajaan Selangor).”
Beliau berkata demikian selepas FMT melaporkan pemuda PAS di Kuala Selangor, Subang, Serdang dan Pandan meluluskan usul putus hubungan dengan PKR di mesyuarat agung tahunan masing-masing baru-baru ini.
Berdasarkan komunikasi dengan pimpinan setempat, dipercayai beberapa lagi kawasan akan mengikuti langkah mereka.
Usul tersebut menyusuli penularan video Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai hasrat PAS menawan Selangor. Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz mengesahkan rancangan tersebut.
Ketua Pemuda PAS Kuala Selangor Ahmad Hakimi Othman berkata keputusan di pihaknya dicapai berdasarkan 3 peristiwa membabitkan hubungan PAS dan PKR negeri.
“Pertama, pemimpin PKR Melayu Islam memandang sinis usaha memartabatkan mahkamah syariah dan memejamkan mata dalam penerangan yang diberikan.
“Kedua, Pilihan Raya Kecil Sungai Besar melihatkan pengkhianatan jelas terhadap unsur-unsur tahaluf siyasi PAS yang digariskan dalam Majlis Syura Ulama.
“Ketiga, isu air Selangor dan pertikaian dengan Splash masih tidak diselesaikan hingga menyeret PAS dalam krisis keyakinan rakyat terhadap tindak tanduk kerajaan yang ada,” katanya dalam kenyataan.
Iskandar menegaskan usul itu masih belum muktamad memandangkan ia belum dibawa ke mesyuarat agung tahunan pusat yang dijadualkan pada 29 April hingga 1 Mei di Kota Sarang Semut, Kedah.
Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan isu kerjasama dengan PKR akan dibincangkan pada mesyuarat itu nanti.
PAS mengekalkan hubungan politik dengan PKR, walaupun selepas Pakatan Rakyat terkubur dan mereka bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah, sekutu PKR dalam Pakatan Harapan. FMT