Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan bahawa pemerintahan enam dekad BN mungkin menghampiri penghujungnya, lapor Bloomberg.
“Kami rasa sentimen akar umbi begitu kuat bahawa kita akan mendapat sokongan majoriti rakyat,” kata Dr Mahathir dalam temubual dengan Bloomberg di Putrajaya semalam.
“Semua orang yang anda temui hari ini, sesiapa saja, tiada seorang pun mempunyai kata-kata yang baik untuk kerajaan, terutamanya bagi (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak),” kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.
Selain memainkan isu skandal 1MDB, kumpulan pembangkang juga berharap isu kenaikan sara hidup, turut akan melemahkan sokongan kepada Najib.
Kemenangan pembangkang juga mungkin menyaksikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak popular, dikurangkan daripada enam peratus, kata Mahathir.
Bagaimanapun, katanya, GST tidak akan dihapuskan kerana “itu mungkin menyebabkan beberapa masalah dengan pembiayaan kerajaan”, tetapi projek-projek yang tidak penting boleh dibatalkan.
Pada 14 Januari, Mahathir dilaporkan oleh Malay Mail Online sebagai berkata pembangkang akan secara beransur-ansur memansuhkan GST jika ia dipilih menjadi kerajaan.
Pakatan Harapan dilaporkan berjanji untuk menghapuskan GST jika ia mengambil alih Putrajaya.
Parti pemerintah perlu mengadakan pilihan raya umum akan datang, yang ke-14 bagi negara ini, pada selewat-lewatnya Ogos 2018. Spekulasi bertiup kencang bahawa Najib mungkin memilih untuk mengadakan pilihan raya mengejut tahun ini.
Mahathir juga berkata bahawa kegagalan untuk memasukkan PAS ke dalam PakatanHarapan itu akan meningkatkan peluang gabungan Najib.
“Kami akan menganggap orang lain yang bertanding sebagai penyokong Najib, penyokong BN,” kata Mahathir. “Kerana kesannya ia akan mengurangkan undi kepada pakatan itu, memecahkan undi pembangkang, yang sudah tentu akan membantu Najib untuk menang.”
Mahathir berkata pembangkang belum membuat keputusan mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri, sekiranya ia menang.
Isu itu, katanya, “tidak relevan kecuali anda menang”. Beliau juga enggan mengenal pasti calon-calon yang mungkin mengisi jawatan tersebut.
Mahathir juga berharap pembangkang akan mempunyai “margin kemenangan yang baik” yang akan diterjemahkan kepada sebuah “kerajaan yang dan kuat”.