Selain Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi bayangan calon lain perdana menteri Pakatan Harapan (PH) mungkin dipilih berdasarkan sokongan dan majoriti popular.
“Kerana Anwar masih dipenjara dan calon gantinya ialah yang mendapat majoriti dan sokongan daripada kalangan ahli Parlimen itu yang dipilih,” kata presiden parti itu semasa sidang media di Ibu Pejabat PKR , Petaling Jaya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai calon perdana menteri PH jika menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Namun soal calon perdana menteri PH bukan merupakan keutamaan perikatan pembangkang, tambahnya lagi.
“Itu tidak penting yang penting sekarang adalah menang dulu pilihan raya.”
PKR menerusi kongresnya minggu lalu sebulat suara menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri meskipun bekas presiden itu masih menjalani hukuman penjara. THI