Jelajah penerangan isu 1MDB yang bermula di Pulau Pinang 6 Julai lalu dijangka akan menjana momentum pengundi luar bandar menentang rejim BN pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).
Pemerhati politik, E.C. Tan berkata, sekiranya PRU pada Oktober 2017 maka tempoh tiga bulan cukup untuk membangkitkan kesedaran dalam kalangan pengundi luar bandar mengenai pembaziran yang dilakukan kerajaan sehingga menyebabkan kos hidup tidak terkawal dan ekonomi kucar-kacir.
“Walaupun hanya 300 orang yang hadir di ceramah 1MDB di Penaga kelmarin, ia adalah permulaan yang baik untuk Pakatan Harapan (PH).
Sekurang-kurangnya para hadirin tentu akan beritahu rakan dan saudara mengenai isi kandungan ceramah tersebut. Kalau langkah tidak diambil untuk mencelikkan minda pengundi, BN 100% pasti akan menang pada PRU 14 ,” kata yang juga seorang banker di Kuala Lumpur.
Beliau yang pro-PH berkata, dari sumber maklumat tertentu PRU14 berkebarangkalian akan diadakan sebelum bulan Oktober.
Petanda jelas, katanya, laporan-laporan media arus perdana telah mengeluarkan kenyataan dari bank dan agensi pelaburan perihal ekonomi negara semakin kuat dan Keluaran Dalam Negara Kasar dijangka mencecah 5.1% untuk tahun ini .
Iklim pelaburan juga dilaporkan sedang bertambah kukuh dan prestasi Bursa Saham Kuala Lumpur sekarang sedang meningkat ke arah 1,800 mata.
“Banyak berita di media arus perdana sedang mengheboh-hebohkan ekonomi negara bergerak di atas landasan yang betul dan Malaysia akan menjadi negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020.
“Selalunya berita ‘feel good’ ini akan banyak disiarkan 2 bulan sebelum setiap pilihan raya umum. Tetapi kami yang bekerja di bank tahu sebenarnya keadaan ekonomi negara bukanlah baik seperti yang diuar-uarkan.
“Simpanan tetap rakyat semakin kurang apabila ramai orang mengeluarkan simpanan mereka kerana sudah menganggur atau pun kekurangan wang perbelanjaan.
“Situasi untuk rakyat terutamanya golongan miskin semakin susah,” kata Tan kepada Suara pakatan daily.
Beliau memberitahu banyak kedai runcit di kawasan kediamannya di Petaling Jaya melaporkan rakyat kurang membeli dan angka jualan semakin merosot.
“Saya hanya harap Pakatan akan bersedia untuk PRU14 pada tahun ini dan jangan memikir ia akan diadakan pada tahun hadapan kerana kerajaan BN perlukan dana dan setelah PRU14 dimenangi oleh mereka, pastinya semua harga utiliti, kadar denda, perkhidmatan kerajaan dan harga barang runcit serta GST akan mengalami peningkatan.
“Masa depan untuk rakyat malap jika rakyat terus jadi bodoh dan undi BN lagi,” tegas Tan.