Peguam terkemuka Ambiga Sreenevasan hari ini menyelar mereka yang mendesaknya memberi penjelasan mengenai peranan sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan pemindahan RM90 juta kepada pemimpin tertinggi PAS daripada Najib Razak, dengan mengatakan mereka boleh ditahan kerana menghina.
Bekas presiden Majlis Peguam itu menegaskan saman PAS terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown difailkan di United Kingdom (UK) dan oleh itu, tiada alasan bagi mereka melakukan perbicaraan kecil atau “pendakwaan” terhadapnya di Malaysia.
“Oleh itu, di mahkamah UK bahawa sebarang permintaan, atau tuntutan, untuk dokumen atau maklumat perlulah dibuat,” kata Ambiga dalam satu kenyataan.
Kes dimaksudkan adalah saman yang difailkan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terhadap Rewcastle-Brown pada April kerana mendakwa parti Islam itu menerima wang daripada Najib.
Tuduhan itu dibuat pertama kali dalam artikel Sarawak Report bertarikh 6 Ogos 2016 yang bertajuk “As Najib denies all over 1MDB let’s not forget his many other criminal connections”.
Hadi menuntut ganti rugi yang sesuai dan injunksi untuk menghentikan Sarawak Report daripada menyiarkan lebih banyak mengenai perkara berkenaan.
Pada Selasa, Rewcastle-Brown menamakan Ambiga sebagai sumber maklumat berhubung dakwaan pemimpin tertinggi PAS menerima wang daripada Najib.
Menurut pernyataan Pembelaan dan Tuntutan Balas yang diberikan kepada The Malaysian Insight, Rewcastle-Brown berkata beliau bercakap dengan bekas pengerusi Bersih pada Julai tahun lepas mengenai Najib, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan PAS.
“Ambiga memberitahu defendan sumbernya, yang dikatakannya boleh dipercayai, menganggarkan jumlah dibayar ialah sekitar RM90 juta,” kata Rewcastle-Brown dalam pemfailan mahkamahnya bertarikh 11 Oktober.
Pendedahan Rewcastle-Brown mengenai Ambiga adalah sumbernya menyebabkan pemimpin PAS menuntut penjelasan dan permohonan maaf daripada Ambiga, yang juga merupakan presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Nasional.
Dalam kenyataannya hari ini, Ambiga berkata beliau berdepan serangan daripada menteri Kabinet, ahli parti dan lain-lain pihak yang turut sama menuntutnya.
“Media kerajaan memberi saya liputan tiga halaman semalam (termasuk muka depan!), yang mendesak saya memberi penjelasan,” katanya.
“Saya juga keluar di berita TV3. Penulis blog yang dikenal pasti dengan parti pemerintah membuat kenyataan seksis, perkauman dan sangat memfitnah Rewcastle Brown dan saya sendiri. Media sosial digunakan untuk menyerang reputasi dan karektor saya.”
Beliau berkata tiga lelaki, mendakwa sebagai wakil media datang ke rumahnya dan memfilemkan bahagian luarnya. Wartawan daripada media pro-Umno, Berita Harian dan TV3 berkhemah di depan pejabatnya.
“Pada pandangan saya, ini adalah tindakan serangan dan intimidasi terhadap saya. Mereka benar-benar menjejaskan, dan tidak menghormati, prosiding di UK dan mungkin pada pendapat saya menghina mahkamah UK.”
Katanya, pihak yang menuntut boleh dipertanggungjawabkan ke mahkamah di UK kerana perbuatan ini mungkin dianggap berkaitan dengannya.
“Mereka yang dengan lantang mengutuk saya dan yang terkilan dengan apa jua cara, sepatutnya membawa aduan tersebut ke mahkamah di UK,” katanya.
“Saya percaya mereka mungkin campur tangan dalam prosiding itu dan menjadi sebahagian daripadanya jika mereka merasa cukup dan mempunyai kes untuk dikemukakan.” – FMT