Bajet ‘gula-gula’ pilihanraya yang diumumkan oleh Menteri Kewangan najib Razak jumaat lalu ternyata tersasar dalam membela anak muda. Hanya sektor awam yang dibela bersungguh-sungguh oleh kerajaan demi mengharapkan 1.2 juta kakitangan awam memangkah BN pada pilihan raya umum akhir tahun ini.
Bagi Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia Dr Raja Ahmad Al Hiss keterlupaan kerajaan BN dalam membela golongan muda pasti akan mengurangkan harapan golongan itu terhadap kerajaan yang sebelum ini telah banyak menyekat hak kebebasan bersuara mereka.
“Tiada peruntukkan khusus untuk pembangunan insan dan latihan untuk anak muda. Kerajaan BN juga dilihat tidak mampu menyediakan alternatif pekerjaan untuk menampung kadar pengangguran graduan di tanahair yang semakin meningkat. Tiada perancangan untuk mencetuskan pekerjaan yang kompetitif serta nilai idea baru terutamanya dalam industri pertanian moden buat anak muda.
“Di saat ekonomi negara kurang bermaya, kerajaan hanya menumpukan pengekalan nilai sedia ada di universiti tempatan tanpa cuba mewujudkan kreativiti sosial dan ekonomi.
“Kerajaan sewajarnya memperuntukan sejumlah peruntukan buat universiti tempatan bagi melatih bakal graduan dalam pengurusan risiko dan kreativiti kerja. Anak muda yang di luar lingkaran kampus pula dilihat semakin terpinggir dalam isu pencarian pekerjaan.
“Dalam membina kerangka niaga buat generasi muda tiada penumpuan kursus sama ada kemudahan membuka peniagaan dalam bentuk teknologi dan perkilangan. Jelas kebergantungan sektor penting ini masih diberikan kepada pihak luar dan bukannya menumpukan kemampuan anak tempatan terutama graduan yang berkemahiran dalam bidang tersebut,” katanyaDr Raja Ahmad bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada kerajaan BN yang meniru beberapa polisi belanjawan Pakatan Rakyat dan perkara yang terkandung dalam Buku Jingga untuk dimuatkan dalam Bajet 2012. Kesan akhir, katanya, adalah kesejahteraan buat rakyat. Beliau juga menekankan perlunya pembangkang yang kuat, kerana belum pernah kerajaan BN mengumumkan bajet ‘pemurah’ seperti itu pada waktu BN memperolehi 2/3 majoriti di Parlimen.
“Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia) mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pakatan Rakyat kerana telah berjaya mendorong Kerajaan BN melalui bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak baru-baru ini untuk memperbanyakkan peruntukan dan bantuan kepada rakyat terutamanya pihak keselamatan seperti Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Usaha BN untuk memancing undi rakyat untuk pilihanraya akan datang juga jelas kelihatan apabila banyak ‘gula-gula’ yang yang ditawarkan pada rakyat dilihat diambil dari Buku Jingga dan bajet PR itu sendiri, jelas bahawa idea dan strategi PR telah terbukti baik dan berpandangan jauh.“Bagi kami, pendekatan negara kebajikan yang dislogankan oleh PAS tidak diterima oleh BN dan masih mengatakan BN yang terlebih dahulu melakukan pendekatan tersebut.
“Akan tetapi, BN perlu sedar kerana lebih 54 tahun memerintah semenjak negara mencapai kemerdekaan, rakyat tidak melihat pendekatan kebajikan yang diberikan oleh Kerajaan BN selama ini. Terlalu banyak ketirisan wang rakyat telah mengenggelamkan pendekatan kebajikan yang BN akui telah berikan sejak lama dahulu,” katanya.