Dalam ucapan Perdana Menteri Najib Razak selepas membentangkan Bajet 2012, beliau mendabik dada kononnya kerajaan BN adalah pemerintah yang paling pemurah di alam maya kerana sanggup berhabis duit memberi bantuan one off RM500 kepada keluarga berpendapatan rendah. Namun adakah pemberian ini benar-benar ikhlas?
Untuk mengetahui keikhlasan kerajaan BN, lebih mudah kita berbalik kepada apa yang dibuat BN pada tahun-tahun sebelumnya. Rakyat tentunya masih ingat isi kandungan Bajet 2011 yang juga banyak mengandungi ‘gula-gula’ dan dibentangkan oleh orang yang sama Najib Razak. Apakah yang berlaku pada tahun 2011. Orang Melayu mungkin telah terlupa kerana itu Dr Mahathir amat sukses menipu mereka itu sepanjang 22 tahun pemerintahannya.
Namun tidak bagi bangsa Cina yang memiliki fikiran berniaga. Sepanjang 2011, selepas kerajaan BN memberi gula-gula kepada rakyat mereka menaikkan harga tepung, gula, minyak masak, menarik balik subsidi diesel kepada kenderaan pengangkut barang dan kosnya diserap oleh peniaga. BN juga membenarkan kenaikan tarif elektrik. Lebih banyak unit digunakan maka kenaikan mencapai 30 peratus. Maka kilang yang mengilang produk barangan pengguna menggunakan tenaga paling banyak. Lalu kos kenaikan itu dimasukkan ke dalam harga barang. Begitu juga BN membenarkan kenaikan harga barang-barang dalam tin yang bukan barang kawalan. Kesannya, pada penghujung 2011 poket rakyat semakin kosong.
Maka datanglah Santa Claus BN di hujung tahun memberi hadiah gula-gula dan coklat. Santa tulen datang pada waktu malam ketika manusia sedang tidur. Amat merendah diri dan tidak mahu dikenali sama sekali. Santa BN yang palsu ini mengumumkan hadiah di televisyen. Hari-hari seterusnya berlagak seperti malaikat turun dari langit memberi rahmat kepada umat manusia. Bersorak-sorak memuji diri sendiri kerana berjasa memberikan hadiah kepada rakyat. Padahal hadiah diberi setelah mereka mengambil sebanyak-banyaknya wang perbelanjaan harian rakyat sepanjang tahun.
Semua subsidi ditarik
Rakyat tentu masih ingat hasil kajian Makmal Rasionalisasi Subsidi Idris Jala yang menjadualkan penarikan subsidi secara berperingkat sehingga 2019. Pada tahun dinyatakan itu tidak ada lagi subsidi bakal dinikmati rakyat. Maka apalah sangat hadiah RM500 dan RM300 bantuan kepada pelajar serta beberapa ratus ringgit lagi kepada pesara berbanding berbilion ringgit setahun yang dikebas daripada dasar penarikan subsidi ini.
Inilah Santa BN yang licik menipu. Ternyata sepanjang seminggu ini banyak sekali rakyat Malaysia terutama Melayu dan India yang termakan dadah pemberian BN. Sehingga sanggup menolak Pakatan Rakyat dan mahu mengundi semula BN. Undi untuk apa? Membenarkan subsidi ditarik balik. Gila!
Bukalah mata seluasnya melihat negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Negeri-negeri itu banyak skim subsidi dan bantuan kepada rakyat. Namun keihklasan kerajaan PR terbukti apabila memberi bantuan tetapi tidak langsung menaikkan cukai tanah, cukai pintu, tarif air dan sebagainya yang di bawah bidang kuasa negeri. Inilah pemerintah yang sebaik-baiknya dan patut dikekalkan pada pilihanraya akan datang.
Beri kroni dahulu
Pemberian bantuan RM500 jika rakyat masih ingat, sama keadaannya seperti di zaman pemerintahan Pak Lah. Sebagai Menteri Kewangan, pada 2008 beliau menaikan harga petrol ke paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM2.70 seliter. Kemudian beliau mengumumkan pemilik kereta akan diberi pampasan RM500 dan motorsikal RM150. Apa yang rakyat tidak tahu keuntungan dari cukai jualan minyak jauh lebih tinggi daripada nilai pampasan itu. PR ketika itu mempertikaikan apabila pejabat pos diberi ‘projek’ mengagih-agihkan wang pampasan. Sedangkan pejabat pos tentu mengenakan caj tertentu setiap nilai wang yang menggunakan perkhidmatannya. PR mendakwa Pak Lah telah membantu kroni yang memiliki perkhidmatan pos dalam pemberian pampasan itu
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan mencari-cari kaedah sesuai memberikan bantuan. Asalnya, pemberian akan dilakukan di Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri. Bagaimanapun lembaga ini tidak mahir dalam urusan memberi wang. Kemahirannya terhad kepada mengambil wang dan memaksa rakyat membayar cukai. Maka agensi lain perlu dilibatkan dalam operasi berlemah-lembut memberikan bantuan. Yang terlintas di kepala menteri ialah perkhidmatan pos dan Bank Simpanan Nasional (BSN). Sekali lagi caj akan pindah ke akaun kroni BN dan mereka akan membuat duit menjelang pilihanraya umum ke-13!
Beginilah selama-lamanya rakyat Malaysia dipermain-mainkan setiap kali menjelang musim pilihanraya. Diberi gula-gula tetapi kroni BN yang makan besar. Tidakkah mereka melihat bantuan yang diberikan oleh kerajaan PR kepada rakyat? Adakah kerajaan PR menggunakan perkhidmatan BSN atau pejabat pos? Sama sekali tidak, malah pemimpin PR turun padang menyampaikan cek bantuan atau menggunakan agensi kerajaan negeri yang relevan.
Bantuan sampai dan rakyat tidak merungut kerana terpaksa beratur panjang atau kehabisan borang. Begitulah sifat kerajaan yang ikhlas. Walaupun dilihat susah namun tuhan memudahkan urusan mereka. Kerajaan BN yang mencuri wang rakyat, semuanya digambarkan sukar kecuali perkhidmatan kroni mereka digunakan dan kroni mendapat habuan untuk memudahkan urusan.