Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menggesa semua menteri baharu dalam Pakatan Harapan (PH) untuk mendapatkan nasihat daripada ‘orang lama’ jika mereka memerlukan bantuan dalam menguruskan kementerian masing-masing, lapor Malaysiakini.
Presiden Bersatu itu berkata beliau sendiri sanggup membantu ‘pucuk baharu’ dari pelbagai aspek, termasuk nasihat.
“Mereka yang masih baharu dalam Kabinet boleh mendapatkan nasihat daripada saya.
“Mereka juga boleh merujuk isu penting kepada perdana menteri. Tidak bermakna apabila dia (seseorang pemimpin) telah dilantik menjadi menteri, dia boleh buat keputusan sendiri,” katanya.
“Terdapat perkara yang boleh kita bincangkan dengan perdana menteri walaupun beliau sentiasa sibuk,” katanya seperti dilaporkan portal itu.
Muhyiddin mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang tidak berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi barisan jemaah menteri sejak dilantik memegang portfolio masing-masing dalam kerajaan PH.
Beliau berkata walaupn beberapa menteri mempunyai pengalaman di peringkat negeri sebagai menteri besar namun mereka masih belum dapat menyesuaikan diri bekerja di peringkat persekutuan.
“Kabinet dilihat memiliki banyak kelemahan dari segi kepimpinan di kementerian-kementerian penting.
“Kita mengakui kelemahan yang ada tetapi saya percaya rakyat akan faham bahawa mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan tugas masing-masing.
Muhyiddin berkata pegawai kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam memastikan dasar yang betul dilaksanakan.
“Kebiasaannya pegawai kerajaan mesti setia kepada kerajaan semasa, mesti patuh kepada government of the day dan government of the day sekarang ialah (Pakatan) Harapan.
“Persoalan penting hari ini, macam mana pegawai kerajaan boleh bantu menteri? Misalnya beri taklimat yang betul dan beri pandangan-pandang yang baik,” katanya.
“Mereka mempunyai pengalaman selama 20 hingga 30 tahun manakala ada menteri baru dua bulan berkhidmat.” – TMI