Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Rosmah Mansor hadir ke ibu pejabatnya di Putrajaya esok untuk soal siasat.
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu sebelum ini pernah disoal siasat tetapi tidak didakwa atas sebarang pertuduhan.
Najib didakwa dua kali setakat ini dan pernah disoal siasat di ibu pejabat SPRM sehingga dua malam.
The Star memetik sumber berkata notis arahan kehadiran Rosmah di SPRM esok diserahkan kepadanya petang tadi.
Semalam, SPRM berkata ia sudah melengkapkan siasatan terhadap Rosmah dan menyerahkan laporan kepada peguam negara untuk memutuskan tentang pertuduhan.
Pada 5 Jun, Rosmah disoal siasat oleh penyiasat SPRM selama lima jam berhubung wang daripada bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd, SRC International yang dimasukkan ke akaun Najib.
Beliau juga disaman sebanyak RM60 juta bagi 44 barangan kemas yang tidak dipulangkan kepada syarikat Globaly Royalty Trading SAL, yang dimiliki oleh tukang emas Lubnan, Samer Halimeh.
Barangan kemas itu dirampas ketika serbuan polis ke premis dikaitkan dengan Najib pada Mei dan sebahagian daripada barangan yang bernilai lebih RM1 bilion. – TMI