Dewan Pemuda PAS Negeri Perak merasa kesal ke atas sebuah projek marina yang menelan belanja kira-kira RM28 juta yang dilaksanakan oleh Jabatan Laut dan Kementerian Pengangkutan bagi kemudahan pelayar dari seluruh dunia melalui Selat Melaka di Pulau Matanggor berhampiran Pulau Pangkor tetapi terbiar walaupun sudah siap sejak lima tahun lalu.
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Salman Haji Saleh mahu kerajaan BN pimpinan Zambry memberi penjelasan lanjut mengenai projek berkenaan.
“ Ia telah didedahkan awal bulan Oktober tahun lepas, tetapi hasil penyiasatan yang dimaklumkan oleh Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir masih belum menampakkan puncanya.
“Zambry hanya mampu mengistilahkannya sebagai satu projek ‘Gajah Putih’ dan kini cuba membentuk satu Jawatankuasa Khas untuk memantau projek-projek yang akan dibina pada masa akan datang.
“Apa yang terjadi dengan projek marina di Pulau Matanggor hingga ke saat ini? Syarikat siapakah yang terlibat di dalam memastikan pelaksanaan projek marina tersebut?” tanyanya.
Tambah Salman, perkara paling penting mengenai projek itu siapakah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pangkor ketika pelaksanaan projek tersebut?
“Rakyat dan penduduk Pulau Pangkor tentu kesal dengan projek yang menelan belanja RM28 juta tersebut yang telah berlaku ketirisan sehingga merugikan wang rakyat seluruhnya.
“Sudah tentu nilai RM28 juta tersebut boleh digunakan sebagai bantuan khas kepada penduduk di Pulau Pangkor yang masih tidak mempunyai bekalan elektrik dan air yang sempurna sepertimana yang pernah kami dedahkan sebelum ini.
“RM28 juta tersebut, jika digunakan untuk kebaikan rakyat sudah tentu kemudahan rakyat di sana akan lebih baik daripada hanya membina satu projek ‘Gajah Putih’ yang tidak mendapat manafaat rakyat seluruhnya atau penduduk Pulau Pangkor sedia ada di sana!” katanya
.