SUKAR diramal ‘otak’ siapa yang mencetuskan idea Perdana Menteri (PM) Najib Razak perlu meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) sepanjang mentadbir Malaysia. Najib mempunyai 13 orang penasihat. Dari bekas CEO TV3 sehinggalah CEO Air Asia. Dari tokoh media membawa ke ikon industri. Tidak cukup dengan kemewahan itu, Kerajaan Malaysia mengeluarkan dana melanggan ‘otak Yahudi’ dari firma perunding imej APCO Worldwide untuk memperbaiki penerimaan rakyat terhadap BN.
Perbuatan minta maaf merupakan budaya asing dalam Umno. Tidak mungkin ia datang dari otak tua Dr Mahathir yang tidak mampu berfikir selain memusnahkan Anwar Ibrahim. Juga mustahil datang dari pemikiran separuh matang Zahid Hamidi yang tidak khatam berguru dengan Anwar dalam Team Wawasan suatu ketika dahulu. Hishamudin Hussein diketahui tidak bijaksana. Manakala Dr Rais Yatim politikus ketinggalan zaman. Kemahirannya terhad di kementerian KeKWa menulis gurindam dan bunga-bunga bahasa.
Oleh itu, pastinya idea meminta maaf datang dari penasihat yang memiliki sisi pandang berbeza dalam kemelut politik yang dideritai Najib. Tujuannya jelas, demi menaikkan imej BN menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 13.
Meminta maaf ketika dipuncak kuasa biasanya mendatangkan impak positif, yang mana rakyat akan berfikir seseorang pemimpin itu masih boleh dibawa berunding dan diperbaiki pemerintahannya. Sesungguhnya itulah matlamat yang ingin dicapai Najib.
Setitis penawar
Dengan sekali lagi menipu rakyat menjelang PRU, peluang untuk BN dikuburkan menjadi tipis. Cuma terdapat sedikit kesilapan dalam nasihat yang diberikan. Biar pun tindakan itu tepat pada masanya , selepas rakyat diberi pelbagai jenis bantuan, namun permintaan maaf masih boleh dipersoalkan. Sebabnya, terlalu banyak perkara mungkar dalam pemerintahan Najib yang berterusan sejak zaman Dr Mahathir.
Penghapusan ISA dan membenarkan perhimpunan aman hanyalah setitis penawar yang tidak mampu mengubati pelbagai penyakit dalam sistem politik dan ekonomi Malaysia. Justeru 24 jam selepas maaf dipinta, Nizar Jamaluddin segera mengingatkan rampasan kuasa di Perak yang diterajui Najib pada Februari 2009. Bilakah Najib akan meminta maaf kepada rakyat Perak, soal Nizar.
Begitu juga sistem kehakiman yang dirosakkan ketika menggempur Perak. Najib mesti meminta maaf kepada institusi kehakiman serta memulihkan kembali imej institusi itu yang tercela di mata rakyat.
Permintaan maaf yang ikhlas perlu disertakan dengan tindakan memulangkan hasil rompakan dari perbendaharaan negara. Berpuluh-puluh bilion ringgit yang disonglap kroni wajar dikembalikan. Termasuk beberapa puluh juta ringgit kos membeli cincin, beg tangan, baju dan kasut Rosmah tercinta. Tanpa pemulangan wang, permintaan maaf tidak jauh situasinya dengan pesalah trafik yang meminta maaf kepada polis, adakah permintaan itu boleh menghindari saman?
Mengatasi semua itu, kemaafan wajib dipohon kepada Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim. Najib tidak boleh berlepas tangan dalam kes Fitnah II kerana beliau sendiri berjumpa Saiful Bukhari. Kemudian membuat kenyataan media beliau yakin Anwar seorang penjenayah seksual. Najib disapina ke mahkamah namun enggan menjadi saksi.
Mampukah Najib meminta maaf kepada Anwar yang telah diputuskan tidak bersalah? Tentu sekali tidak, malah untuk berdebat mengenai dasar negara sekali pun Najib ternyata kecut.
Melayu mudah lupa
Sebagai anak didik Dr Mahathir , Najib berpegang kepada teori psikologi orang Melayu. Dan hanya orang Melayu yang boleh menyelamatkan BN pada PRU 13 berpandukan data petunjuk arah sokongan yang dibekalkan oleh beberapa agensi kerajaan kebelakangan ini.
Kaum Cina dan India tidak lagi memberi sokongan sekuat sebelum 2008. Kaum minioriti melihat kerajaan PR di Selangor dan Pulau Pinang sangat membela kepentingan mereka berbanding BN. Oleh itu perhatian dialihkan khusus kepada bangsa Melayu.
Psikologi orang Melayu diketahui amat lemah terhadap pujukan. Bangsa yang tinggi tahap moralnya tidak mungkin menyokong regim BN ‘si tukang fitnah’ selepas Anwar didapati tidak bersalah. Mereka hanya menunggu tarikh pilihanraya untuk menghukum. Namun tidak begitu bagi majoriti orang Melayu, malah Melayu Umno masih terus-menerus mempropagandakan isu zakar dan dubur memburuk-burukkan Anwar di merata tempat.
Bangsa Melayu terkenal dengan sindrom ‘mudah lupa’. Ini disahkan melalui hasil penyelidikan berpuluh tahun Dr Mahathir yang diumumkan pada akhir 1990an. Virus penyakit inilah yang terus-menerus dipantak ke dalam otak orang Melayu melalui propaganda Utusan, TV3 dan sekalian media proBN. Mereka melancarkan perang persepsi. Pelbagai isu yang diutarakan PR dijawab secara penipuan fakta oleh media BN.
Akhirnya, minda Melayu yang lemah akan lupa kebenaran di depan mata. Itu belum lagi persepsi yang dibentuk melalui pemberian bantuan. Seorang makcik mengadu beliau dibawa berpuluh-puluh kilometer jauhnya dari kediaman asal hanya untuk mengambil Bantuan Rakyat 1Malaysia. Rupa-rupanya bantuan itu mahu disampaikan sendiri oleh TPM Muhyiddin Yassin di depan ribuan hadirin dan berpuluh-puluh wartawan.
Cina cerdik
Penerima BR1M kebanyakanya orang Melayu. BN tidak banyak memberi bantuan kepada Cina kerana rata-rata masyarakat Cina lebih cerdik. Mereka gembira menyalami tangan pemimpin yang menghulur wang bukan tandanya akan mengundi BN, tetapi seronok perjuangan memangkah pembangkang dalam PRU lalu telah membuahkan hasil.
Sekiranya bangsa Melayu cerdik, tentulah mereka boleh berfikir mengapakah BR1M tidak pernah diberi sepanjang 54 tahun BN memerintah. Jawapannya, ketika itu BN masih kuat. Sepatutnya, cara paling cerdik untuk terus mendapat bantuan pada masa hadapan adalah dengan memangkah pembangkang .
Lebih cerdik lagi jika mereka mampu berfikir bukankah BR1M itu ditiru daripada Skim Ladang Rakyat yang dilaksanakan kerajaan Kelantan sejak 10 tahun lalu. Kemudian diikuti konsepnya oleh Selangor dan Pulau Pinang. Begitu juga pemansuhan lesen televisyen, diambil dari manifesto Barisan Alternatif PRU 2004 dan dikuatkuasakan seminggu sebelum hari mengundi. Pemansuhan cukai jalan bagi motorsikal diambil dari manifesto Angkatan Perpaduan Ummah pada PRU 1990.
Demikian halnya pemasuhan tol lebuh raya Kajang, kenaikan gaji kakitangan awam dan polisi gaji minimum diambil dari Buku Jingga. Jadi, untuk apa mengundi BN, akhirnya parti itu meniru polisi pembangkang. Rakyat terpaksa menunggu bertahun-tahun malah terpaksa berdemonstrasi sebelum sesuatu kebaikan dilaksanakan. Sedangkan jika mengundi PR perkara itu boleh diperolehi beberapa bulan selepas PRU.
Bagaimanapun, Melayu yang mudah lupa mematikan semua kebijaksanaan. Mereka rela diperkuda oleh BN hanya untuk menikmati untung dalam beberapa bulan menjelang pilihanraya. Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainudin berkata pihak yang akan menang dalam PRU – 13 adalah yang paling sedikit membuat kesilapan. Beliau meramalkan berbanding Najib, Anwar lebih banyak membuat kesilapan. Hakikatnya sepanjang sejarah PRU, kemenangan BN bergantung hanya kepada kebijaksanaan pemimpin Umno memperbodohkan orang Melayu.
Oleh yang demikian, kita mengharapkan Melayu berubah pada PRU 13. Tanpa perubahan total, tiada lagi kemakmuran Malaysia pada masa hadapan. Ekonomi telah berada di tepi jurang bankrupsi, begitu juga huru-hara politik akan berterusan.