Sekretariat Pakatan Rakyat membuka penyertaan kepada rakyat Malaysia untuk menentukan tema Hari Kebangsaan berikutan kerajaan BN menggunakan tema ‘janji ditepati’ yang sama dengan cogankata program parti itu. Sekaligus tidak menepati aspirasi semua rakyat.
“Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat dalam kenyataan akhbar kami 24 Julai lepas telah memberikan masa seminggu kepada Kemeterian Penerangan untuk menukar tema Hari Kebangsaan agar dapat diterima dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat atas alasan Hari Kebangsaan tidak seharusnya menjadi medan BN mempromosi agenda singkat mereka.
“Kami juga menghormati hak kerajaan untuk memilih tema tersebut tetapi perlulah bijak memilih tema yang boleh diterima semua lapisan rakyat.
“Baru-baru ini Ketua Penerangan Umno telah menjawab bahawa hak memilih Tema Sambutan Hari Kebangsaan adalah hak mutlak kerajaan yang memerintah. Ternyata mereka memilih untuk tidak menghormati pandangan rakyat. Semalam akhbar Sinar Harian Online menyiarkan kajian mereka yang menunjukkan 86 peratus rakyat bersetuju Tema Hari Kebangsaan ditukar,” kata kenyataan media Pakatan Rakyat yang dikeluar bersama oleh Mustafa Ali, Nurul Izzah dan Teresa Kok.
Oleh itu, menurut mereka PR membuka kepada rakyat Malaysia untuk menentukan tema yang sesuai bagi sambutan hari kemedekaan tahun ini.
“Untuk itu kami mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk bersama menyarankan tema alternatif untuk Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini,” kata mereka.
Sebarang cadangan boleh diajukan kepada Sekretariat Pakatan Rakyat diemailkan kepada sekretariatpakatan@gmail.com
Tarikh tutup cadangan adalah pada Isnin 30 Julai 2012.