IPOH: Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemberian projek kepada pegawai khas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Kadir.
Hal itu berhubung dakwaan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di Persidangan DUN Perak semalam tentang satu perjanjian di antara pemilik tanah Rumah Perak di Batu Feringgi, Pulau Pinang iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dan Syarikat Al Creative Developers Sdn Bhd yang dimiliki oleh pegawai khasnya, Asmadi Teh.
Koordinatornya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-hiss berkata Asmadi adalah pegawai khas Dr Zambry di DUN Pangkor yang juga merupakan AJK Umno Bahagian Lumut.
Dakwanya, Perjanjian tersebut berdasarkan BOT (Build-Operate-Transfer) di mana pemaju akan diberikan konsesi selama 30 tahun untuk mengurus projek itu.
“Pemberian tersebut dilihat telah melanggari etika serta melibatkan unsur salah guna kuasa yang dianggap berat,” katanya ketika membuat sidang media selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Perak, Ipoh.
Hadir sama ialah Jawatankuasanya, Salman Saleh serta Exco Pemuda PAS Perak, Ustaz Fahmi Ismail dan Safarizal Saleh.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia menjelaskan, selepas disemak di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terbukti syarikat tersebut tidak aktif.
“Bagaimana projek membuat sebuah hotel bertaraf tiga bintang ini boleh diberikan kepada syarikat yang terbukti tidak aktif.
“Ini memperlihatkan ada unsur salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan BN yang dipimpin oleh Dr Zambry itu sendiri.
“Projek tersebut juga akan menyebabkan Rumah Perak yang penuh dengan sejarah sejak Kesultanan Sultan Idris Shah itu musnah,” dakwanya.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak itu berkata, pihaknya mengharapkan SPRM membuat siasatan segera bagi membantu rakyat Perak membasmi unsur-unsur salahguna kuasa yang sering berlaku dalam pentadbiran Umno-BN.