Laksamana Pertama (B) Haji Imran Abd Hamid (Laut) mempersoalkan kemana peruntukan pembelian kapal Littoral Combat Ship (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mencecah RM9 billion.
Dakwanya, sehingga kini hanya enam buah LCS dibina berbanding 27 unit seperti dimeterai dalam perjanjian.
“Mengapa harga LCS sampai ke RM9 billion? Sedangkan semasa saya berkhidmat, perjanjian antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kementerian Pertahanan untuk membeli 27 kapal bernilai RM6 billion.
“Mengapa sampai sekarang baru buat enam petrol vessel?, katanya dalam ceramah ‘Rakyat & Tentera Mahukan Perubahan Demi Negara’ di Keramat Wangsa, 16 Februari lalu.
Dakwa Imran lagi, pihak yang bertanggungjawab membeli kelengkapan tersebut telah menukar kepada model lain.
“Mengapa perlu ditukar? Inilah penyelewengan Umno-BN kepada rakyat Malaysia yang berlaku dan tidak harus dibiarkan,” tegasnya.
Imran turut mempersoalkan rasional pembelian LCS, kerana pesisir pantai negara termasuk pelantar minyak milik Petronas telah diawasi oleh kapal TLDM bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
Dalam pada itu, Imran memberitahu, sebarang kontrak melebihi RM30 juta tidak boleh ditanda-tangani oleh Kementerian Pertahanan.
“Ini merupakan satu penyelewengan kuasa. Sepatutnya pengurusan perolehan kapal diuruskan oleh Kementerian Kewangan, bukan Kementerian Pertahanan,” katanya.