Dewan Pemuda PAS Negeri Perak merasa cukup bimbang dengan kes terbaru pembunuhan menggunakan senjata api yang berlaku di Parit Buntar semalam dan ada yang masih menyifatkannya oleh sesetengah pihak sebagai kes terpencil sahaja. Persoalan kami, adakah pembunuhan menggunakan senjata api tersebut bermotifkan balas dendam?
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata pembunuhan bermotifkan balas dendam dan sebagainya amat mencemaskan dan menggentarkan rakyat. Ianya secara langsung membuka kepada siapa sahaja yang berusaha membalas dendam akan melakukannya sedemikian.
“Bagi kami, sudah tentu orang-orang ‘besar’ dan berpengaruh akan menjadi sasaran termasuk ‘orang politik’ jika usaha membenteras pembunuhan bersenjata api ini tidak dibendung. Jesteru, kami mendesak agar Pasukan Keselematan memberikan jaminan agar kejadian seumpama ini tidak akan berlaku dengan mudah.
“Jika juga kekerapan pembunuhan bersenjata api ini secara langsung akan membimbangkan pelancong asing dan juga pelabur asing yang berurus niaga di dalam Negara kita. Jaminan ini penting bagi semua pihak dan Pasukan Keselamatan perlu memberikan ianya sebagai fokus utama dan tidak perlu ianya dipolitikkan.
“Kami tegas akan memberikan kerjasama jika diperlukan oleh Pasukan Keselamatan dan sewajarnya kerjasama ini perlu dijalankan demi menjaga keselamatan rakyat. Kami juga bersedia untuk bertemu dengan pihak Pasukan Keselamatan dan Pegawai Tertinggi mereka untuk mendapatkan penjelasan perkara tersebut.
“Kami juga mengharapkan jika Pasukan Keselamatan menumpukan dan memfokuskan tentang isu keselamatan ini daripada menjaga pihak-pihak tertentu sahaja, sudah tentu seluruh rakyat akan memberikan kerjasama erat dengan mereka. Kami yakin kesungguhan Pasukan Keselematan kelak akan menyelamatkan Malaysia daripada bahaya yang datang,” katanya.