Ahli Parlimen PAS-Shah Alam, Khalid Samad mempertahankan kenyataannya yang mahu kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dikurangkan atas alasan demi melindungi imej Sultan Selangor daripada terus dikritik rakyat.
Khalid berkata, cadangannya untuk memansuhkan kuasa eksekutif Mais tidak bermakna menolak kedudukan sultan sebagai ketua agama Selangor kerana kuasa eksekutif adalah kuasa pelaksanaan.
“Jika berlakunya kesilapan (Mais) rakyat akan marah dan ditujukan kepada golongan eksekutif bukannya kepada sultan.
“Jadi dengan cara itu, institusi sultan akan bersih daripada kesilapan atau tindakan yang boleh menyebabkan kemarahan rakyat.
“Institusi kesultanan sepatutnya bebas daripada apa-apa supaya ia tidak dikritik,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.
Katanya, jika fungsi eksekutif terus dipegang Mais sepenuhnya tanpa mengambil kira pandangan rakyat, ia akan merosakkan imej Islam dan institusi raja.