Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyeru Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang kecewa terhadap penguguran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin daripada Kabinet Baru Kerajaan Malaysia untuk bangkit bersuara.
Muhyiddin Yassin kebelakangan ini kerap kali mengkritik secara terbuka isu 1MDB yang mencecah hutang RM42 bilion dalam masa 6 tahun sehingga beliau dipecat daripada jawatan TPM oleh Najib Razak pada 28 Julai lalu.
“Saya menyeru supaya ahli – ahli parlimen BN bersama – sama dengan Pakatan Rakyat (PR) bersuara dan sanggup bersama kami dalam tempoh setahun ini untuk menuntut supaya siasatan 1MDB dapat diteruskan sehingga keputusan yang memberikan manfaat kepada semua,” kata Khalid Samad.
Menurut pemimpin Gerakan Harapan Baru itu lagi, teguran teguran Muhyiddin terhadap isu IMDB menunjukkan sikap beliau sebagai seorang ahli politik yang mempunyai prinsip yang tersendiri dan rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap agama, bangsa dan negara yang tidak perlu disangkal lagi.
Khalid menegaskan lagi , Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus mengambil cuti sepanjang tempoh siasatan 1MDB dijalankan supaya proses ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan yang bakal mengeruhkan lagi dengan kewujudan beberapa spekulasi lain yang boleh menidakkan terus kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan yang di pimpin oleh Umno-BN.
“Penguguran TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin diumumkan Najib semalam menunjukkan keyakinan rakyat bertambah kukuh, bahawa ada sesuatu yang sedang bergolak dalam suasana tadbir urus kerajaan Malaysia sekarang,” katanya .