Dakwaan pembangkang yang cuba mengaitkan Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) dengan pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) dilihat masih belum mereda.
Tuduhan kononnya kerajaan Selangor tidak mengamalkan tatakelola baik kerana tiada tender terbuka pula dilihat percubaan memperbodohkan rakyat.
Bagi Naib Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq, projek DRT itu masih pada peringkat percubaan. Tentunya tiada tender terbuka kerana Kerajaan Negeri belum berhasrat menganugerahkan perkhidmatan bas mini ‘atas permintaan’ kepada mana-mana syarikat.
Katanya, proses yang ada sekarang adalah tempoh membuktikan sistem pengangkutan itu efisyen atau proses Proof of Concept (POC).
“Fakta sekarang hanya dua syarikat sahaja yang diberikan lesen oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kendali bas mini (atas permintaan) ini dan syarikat itu sahaja mempunyai kebenaran daripada APAD untuk membuat pembuktian konsep (POC).
“Sebab itu, pihak pembangkang kena faham bahawa ia bukan isu tender terbuka atau tender tidak terbuka kerana masih belum ada keputusan rasmi diputuskan untuk melaksanakan perkhidmatan ini,” katanya kepada Suara Keadilan.
Untuk rekod, Asia Mobility Technologies Sdn Bhd yang merupakan syarikat milik suami Hannah Yeoh adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT untuk membuat POC.
Projek rintis itu dibuat bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di Selangor.
Mengulas lanjut, Haziq yang juga ketua AMK Ampang berkata, sekiranya satu daripada syarikat digugurkan semasa POC dijalankan, dibimbangi akan memberi kesan kepada projek rintis itu kerana tiada perbandingan syarikat mana yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik.
Bas mini atas permintaan diperlukan oleh rakyat Selangor sebagai pengangkutan jarak dekat. Konsepnya seperti e-hailing atau kereta Grab, yang membolehkan pengguna memesan bas mini ke kawasan mereka.
Bezanya, pengangkutan ini dinaiki secara beramai ramai dan tambangnya lebih murah berbanding konsep kereta Grab yang diketahui umum.