Masalah kejatuhan ringgit pada ketika ini tidak boleh dilihat secara terpisah dengan penambahan pinjaman kepada ‘sektor tidak produktif’ dalam dua dekad terakhir.
Menurut Ketua Biro Profesional Muda KEADILAN, Seah Jhen Pei, berdasarkan data Nilai Ditambah Pembuatan (MVA) Malaysia negara ini berada dalam skala menurun tahun demi tahun kerana modal pinjaman yang dikeluarkan lebih banyak tertumpu kepada pembelian hartanah atau kereta yang tidak menghasilkan keuntungan sebagaimana pinjaman membina kilang atau memulakan perniagaan baharu.
“Bagi sesebuah negara berdagang, kita memerlukan sektor pembuatan yang kukuh dan mampan untuk mengeluarkan barangan untuk diniagakan.
“Merujuk kepada data MVA kita, ia mengalami penurunan mendadak dari 2004 hingga 2019, menurun daripada 30% kepada 21% KDNK.
“Sebaliknya, pinjaman terkumpul oleh institusi perbankan untuk sektor hartanah meningkat daripada 29.1% kepada 66% antara tahun 1997 dan 2022.
“Sehingga tahun 2021, pinjaman terkumpul kepada sektor hartanah adalah hampir 9 kali daripada pinjaman kepada sektor pembuatan.
“Dalam erti kata lain, sebagai sebuah negara membangun, kita menghasilkan produk perdagangan yang semakin berkurangan pada tahun-tahun tersebut dengan modal ditarik dari sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (kepada sektor tidak produktif),” katanya dalam kenyataan.
Masalah yang timbul berdasarkan polisi ekonomi yang salah itu, kata Jhen Pei, ekonomi Malaysia bergerak ke arah perbelanjaan pengguna dan bergantung kepada faktor tersebut dan bukannya kepada enjin pertumbuhan sebenar iaitu sektor pembuatan yang boleh menjana banyak keuntungan.
“Ekonomi Malaysia kini sangat bergantung kepada perbelanjaan pengguna, yang menjadikan model ekonomi kita agak rapuh.
“Apabila sektor pembuatan tempatan dan PKS kita kekurangan dana, kita tidak dapat menghasilkan pengeluaran yang mencukupi walaupun untuk kegunaan domestik.
“Akibatnya, kita perlu mengimport walaupun barangan penting dan harganya sangat terdedah kepada kesan mata wang tempatan yang lemah,” ujarnya.
Oleh itu, kata penganalisis ekonomi itu, Malaysia amat perlu beralih kepada inisiatif Growth High Value (HGHV) yang ditekankan oleh Kerajaan Madani sejak setahun lalu bagi memantapkan pertumbuhan, khususnya melalui kegiatan eksport barangan industri.
“Inisiatif HGHV yang ditekankan oleh Kerajaan Madani adalah agenda reformasi ekonomi utama, yang sangat diperlukan oleh negara.
“Malaysia bukan sahaja perlu mengeluarkan barangan, tetapi juga barangan bernilai tinggi yang boleh menjadi pemacu utama ekonomi kita.
“Seharusnya, golongan belia negara ini turut memainkan peranan. Kita harus membayangkan diri kita berada dalam sektor HGHV ini. Belia kita perlu diarahkan ke sektor produktif ini,” katanya.
Beliau merujuk contoh Singapura dengan penduduk yang sedikit sekitar 5.9 juta tetapi mempunyain indeks MVA lebih tinggi berbanding Malaysia, dengan 33.5 juta penduduk kerana menumpukan HGHV.
“Menurut data MVA terkini oleh Bank Dunia, MVA Singapura ialah AS$ 95.69 bilion, manakala MVA Malaysia ialah AS$ 95.21 bilion pada tahun 2022.
“Dalam erti kata lain, MVA per kapita Singapura adalah 5.7 kali lebih tinggi daripada Malaysia, yang mewajarkan mengapa ringgit lebih rapuh berbanding dolar Singapura,” katanya lagi.