Kerajaan Pas Kelantan perlu menjawab dakwaan di media sosial bahawa sebuah syarikat perlombongan dari Singapura yang beroperasi di negeri itu mempunyai kaitan dengan syarikat pengurus dana terkemuka dunia, BlackRock.
Menurut Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kelantan, Zinda Khalil Sastro Hassan, jawapan kerajaan dan parti Islam itu amat penting apabila pemimpin mereka kebelakangan ini galak menyerang Kerajaan Perpaduan kononnya membenarkan syarikat pro Israel bertapak dalam konsortium Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melalui pegangan saham di bawah 30% oleh Global Infrastructure Partners (GIP).
Kata Zinda, tugas pembangkang ialah melakukan semak imbang tetapi tidak wajar mengeluarkan kenyataan sensasi yang tidak menguntungkan negara.
“Tugas pembangkang sepatutnya mereka menjadi semak dan imbang kepada kerajaan, memberi idea dan membahas isu yang boleh membawa negara ke arah yang lebih baik.
“Tetapi apa yang kita hadapi sekarang adalah pembangkang yang kurang bijak dan matang. Mereka sebaliknya hanya menyentuh sentimen 3R yang akhirnya merugikan negara,” katanya.
Dalam pada itu, pemimpin AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria baru baru ini dalam hantaran di Facebook mendakwa aktiviti perlombongan emas di Kelantan yang dikendalikan oleh syarikat Singapura CNMC Goldmine Holdings Ltd mempunyai kaitan dengan dana antarabangsa BlackRock. Persoalan itu masih belum dijawab oleh pemimpin Pas sehingga kini.
Terdahulu, pembangkang PN cuba mengaitkan BlackRock dengan konsortium MAHB apabila syarikat pengurus dana itu dilaporkan mengambilalih GIP.
Bagaimanapun, dakwaan penglibatan BlackRock melalui GIP dinafikan Pengarah Urusan Khazanah Amirul Feisal Wan Zahir yang menyatakan sekiranya perjanjian konsortium itu dicapai pihaknya dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memegang 70% saham MAHB manakala bakinya dipegang GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).
“Kami ingin menjelaskan bahawa rakan kongsi konsortium langsung kami ialah ADIA dan GIP, bukannya BlackRock,” katanya dipetik Bernama.
Untuk rekod, spekulasi BlackRock memiliki GIP masih belum dimuktamadkan sehingga September tahun ini. Tidak sebagaimana diperkatakan pihak pembangkang bahawa GIP telah pun menjadi milik BlackRock.