Tidak berpuas hati dengan dakwaan penyelewengan dana oleh pihak pengurusan tertinggi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), sekumpulan penjawat awam bertindak memberhentikan sumbangan melalui potongan gaji kepada yayasan itu.
Seorang guru yang mahu dikenali sebagai Rashid, 36, berkata beliau serta 15 rakan setugasnya dari sebuah sekolah menengah kebangsaan di daerah barat laut Selangor telah menghantar surat rasmi kepada ibu pejabat YaPEIM di Kuala Lumpur pada Khamis (12 November) lalu.
“Kami kecewa ketika kepercayaan selama bertahun-tahun sudah diberi kepada YaPEIM untuk mengagihkan sumbangan kepada orang miskin dan dilanda kesusahan, boleh pula individu dalam Lembaga Pemegang Amanah dan anaknya didakwa ‘menggunakan’ duit kami dalam kalangan penjawat awam sampai mencecah RM154,700 sebulan,” ujarnya merujuk kepada pendedahan yang dilakukan NOW baru-baru ini.
Bagaimanapun Jamil Baharom yang dilibatkan dalam dakwaan berkenaan dalam kenyataannya semalam telah menafikan perkara tersebut.
Menurut Rashid ketika ditemui Malaysia Dateline 14 November lalu, di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), terdapat guru-guru yang diketahuinya membuat potongan gaji serendah RM5 sehingga RM50 sebulan sejak 10 tahun lalu.
“Saya sendiri sejak 9 tahun lepas sudah buat potongan gaji sebanyak RM15 sebulan. Nampak sedikit tetapi kalau dikira sejak dulu, sudah RM1,620 saya serahkan kepada YaPEIM dengan niat supaya diagihkan kepada orang yang memerlukan bukan orang yang tamak dan salah guna kuasa,” bidasnya.
Beliau yang juga guru Sejarah memberitahu, terdapat juga guru yang memaklumkan kepada YaPEIM untuk membatalkan skim potongan gaji itu melalui e-mel.
Walau bagaimanapun, ujarnya, maklum balas yang diterima amat memeranjatkan apabila pihak YaPEIM menyatakan pemberhentian pemotongan gaji untuk sumbangan itu mengambil tempoh selama tiga bulan.
“Ini bermakna pihak YaPEIM ada masa untuk terus mengambil wang kami para penderma sepanjang tempoh itu! Mengapa terlalu lewat? Ini tidak adil!” tegasnya sambil menunjukkan keratan printscreen daripada pihak yayasan yang kontroversi itu.
NGO Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) baru-baru ini mendakwa Jamil menggunakan sejumlah wang sebanyak RM410, 978.56 bagi perjalanan ke luar negara bersama isteri, bermain golf dan lawatan di pusat beli-belah di Amerika Syarikat pada tahun lalu.