Perjanjian bersama 7 Perkara selesai ditanda tangani oleh ketiga-tiga ketua parti komponen dalam Pakatan Harapan pada pukul 12.30 tadi.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dari Parti Keadilan Rakyat; Lim Guan Eng dari DAP dan Mohammad Sabu dari Parti Amanah Negara menandatangai dokumen yang mengikat ketiga-tiga parti dalam rangka kerja dan peraturan bersama.
Tujuh perkara dalam perjanjian tersebut berkenaan:
- Prinsip dan kaedah membuat keputusan:
- Prinsip dan kaedah membina kesatuan politik antara parti.
- Prinsip dan kaedah dalam menyelesaikan pertikaian di antara parti.
- Prinsip dan kaedah dalam membangunkan dasar-dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar-dasar bersama.
- Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan pilihanraya termasuk penentuan kerusi yang ditandingi.
- Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan dan blok pembangkang.
- Prinsip dan kaedah menangani keadaan bila mana perjanjian ini dilanggari.
Tiga fasal pertama ialah membuat keputusan bersama; pembinaan kesatuan politik dan penyelesaian pertikaian.
Prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju tidak lagi boleh digunakan dalam Pakatan Harapan. Oleh itu sebarang perlanggaran ke atas keputusan bersama yang telah dipersetujui dikira sebagai perlanggaran perjanjian.
Fasal empat dan lima iaitu dasar-dasar bersama dan perjalanan pilihan raya.
Dalam dasar bersama Pakatan Harapan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang mana Islam sebagai agama rasmi dan agama lain boleh diamalkan dengan aman sejajar dengan Perkara 3.Selain melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
Pakatan Harapan juga akan meletakkan satu calon sahaja untuk mewakili Pakatan Harapan dalam sesuatu pilihan raya di mana-mana peringkat.
Manakala fasal enam dan tujuh iaitu perjalanan kerajaan dan pembangkang serta keabsahan Pakatan.
Fasal tujuh Perjanjian Pakatan Harapan menghuraikan prinsip yang diguna pakai untuk menentukan status Pakatan Harapan sekiranya ada pelanggaran mana-mana perkara yang telah dipersetujui dalam perjanjian Pakatan Harapan, bagi melindungi kerjasama dan agar perkara tidak elok tidak berlaku pada masa akan datang.
Persidangan bertempat di Pusat Persidangan SACC, Shah Alam itu berakhir tengah hari tadi dan menghimpunkan kira-kira 200 perwakilan.